KUALA TERENGGANU – Niat baik seorang budak lelaki untuk menyelamatkan seekor kucing bertukar tragedi apabila jarinya hampir putus dihempap bongkah penutup longkang di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, di sini semalam.
Kejadian pada pukul 3 petang itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Aiman Haziq Mohd. Raffizi,10, mahu menyelamatkan haiwan itu yang terjatuh ke dalam longkang berhampiran rumahnya.
Muhammad Aiman berkata, dia terdengar bunyi kucing dari arah longkang sewaktu bermain bersama kakaknya, Nur Afrida Humayraa, 13.
“Saya tidak sampai hati mendengar bunyi kucing mengiau lalu membuka penutup longkang bagi mengeluarkan haiwan itu.
“Semasa turun untuk mengambil kucing, tiba-tiba bongkah penutup longkang yang diangkat terjatuh dan menimpa jari manis saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.
Muhammad Aiman berkata, kakaknya segera membantu dan membawanya pulang ke rumah dalam keadaan jari manis terkulai dan berlumuran darah.
Ibunya, Sharifah Nurul Fatihah Sayed Saiful Amizat, 37, yang terkejut dengan kejadan itu segera menghubungi suami, Mohd. Raffizi Abd Rashid, 40, bagj memaklumkan mengenai kejadian tersebut.
“Ibu dan ayah segera membawa saya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini bagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Sementara itu, Sharifah Nurul Fatihah berkata, pada mulanya, dia panik apabila doktor yang merawat Muhammad Aiman memberitahu jari manis anak ketiganya berisiko dipotong sekiranya rawatan menyambung urat dan tulang tidak berjaya. – KOSMO! ONLINE.
|