PONTIAN – Misteri kehilangan remaja lelaki, Tan Boon Chin, 18, ketika keluar berjoging pada pagi Isnin lalu terjawab apabila mayatnya ditemui terapung di perairan Pulau Pisang pukul 10.40 pagi hari ini oleh nelayan kira-kira 30 kilometer dari lokasi terakhir anak sulung dua beradik itu dilaporkan hilang di Benut di sini.
Ibu mangsa, Loh Sui Ling, 43, yang terpaksa dipapah ketika tiba di pekarangan Hospital Pontian untuk proses pengecaman mayat berkata, mayat yang ditemui itu jasad anaknya berdasarkan pakaian terakhir dipakai serta gelang pada tangan.
“Kamu tak `happy’ kenapa tak cakap dekat `Mommy’, kenapa kamu buat macam ini dekat `Mommy’, you nak pergi Singapura untuk kerja, sudah buat rambut cantik-cantik, kenapa jadi macam ini,” katanya sambil menangis melihat jenazah Boon dibaluti plastik hitam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib ketika mengesahkan penemuan mayat berkenaan memaklumkan, proses pengecaman serta bedah siasat telah selesai dilakukan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Boon Chin gagal dikesan selepas tidak pulang ke rumahnya di Taman Benut Jaya di sini sejurus keluar berjoging kira-kira pukul 8 pagi. - KOSMO! ONLINE
|