MELAKA: Seorang anggota tentera direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, di sini hari ini kerana disyaki mencabul seorang pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah berasrama penuh, minggu lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata perintah reman terhadap anggota berpangkat Sarjan berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Dr Teoh Shu Yee bermula hari ini sehingga 20 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.
Tindakan itu susulan pembongkaran kejadian cabul berkenaan oleh ibu mangsa, Ahad lalu.
Sumber berkata, wanita berusia 33 tahun dari Taman Ayer Molek Perdana, Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah itu terkejut selepas membaca beberapa mesej di aplikasi WhatsApp anaknya.
"Pada awal Januari lalu, mangsa berkenalan dengan suspek yang juga jirannya selepas mereka kerap berjumpa di taman permainan di taman perumahan itu.
"Suspek meminta nombor telefon dan akaun TikTok milik mangsa untuk memudahkan mereka saling berhubung sehingga menyebabkan hubungan mereka menjadi semakin rapat," katanya.
Sumber itu memaklumkan, pada 4 Mei lalu suspek menjemput mangsa di asrama untuk keluar dan membawa remaja itu bersiar di sekitar kawasan Alor Gajah.
"Pada ketika itulah mangsa dicabul di dalam kereta," katanya.
Ketika memeriksa telefon bimbit mangsa, ibunya terbaca perbualannya dengan suspek sebelum bertanyakan perkara berkenaan dan mangsa mengaku dicabul oleh suspek ketika berada dalam kereta.
"Pengadu kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Sungai Baru semalam dan membawa mangsa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut," katanya.
Hasil siasatan polis mendapati, suami pengadu juga bekerja sebagai tentera berpangkat Koperal di Kem Terendak dan mangsa adalah pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah di Melaka.
Suspek ditahan di Pejabat Bahagian Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka jam 6.30 petang semalam. - HARIAN METRO
|