Memulakan kerjaya seni sejak usianya 11 tahun, bakat dan keperibadian personaliti terkenal, Lisa Surihani sering dikagumi ramai.
Namun, di saat popularitinya memuncak, pelakon itu seolah nekad untuk memperlahankan kerjaya seni selepas dirinya sudah berhijrah dan berhijab.
Kata Lisa, selepas berhijrah dirinya sentiasa dahagakan naskhah-naskhah yang disulamkan dengan ilmu agama sekali gus boleh membawanya lebih dekat dengan Sang Pencipta.
“Selepas berhijrah, saya banyak memilih naskhah yang berteraskan Islam dan lebih kepada kerohanian. Saya memang selektif.
“Keputusan itu dibuat bukan kerana imej terkini saya tetapi itulah prinsip saya sekarang. Saya sangat dahagakan naskhah-naskhah yang memberi ilmu terutamanya yang berkaitan dengan agama.
“Jika ada yang menawarkan saya untuk mengacarakan program agama, saya sering menjadikan peluang itu untuk saya bertanya apa yang saya ingin tahu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain mahu menimba ilmu, pelakon filem Istanbul Aku Datang itu menegaskan dirinya sentiasa mahu meraih keberkatan dalam setiap rezeki dan sumber pendapatan yang dimiliki.
“Saya bukan mahu kekal dalam industri kerana populariti. Sejak hari pertama saya bertapak dalam industri, saya selalu terapkan dalam diri bahawa saya mahu belajar dan mencari sumber pendapatan.
“Saya mahu belajar dan hadam segala ilmu di dalam industri seni ini. Dalam masa sama, saya belajar menghormati kerja semua orang.
“Malah, setiap sumber pendapatan saya itu adalah rezeki. Rezeki yang berkat dan saya boleh kongsikan bersama keluarga dan anak-anak,” jelasnya.
Perubahan Yang Berbaloi
Kali terakhir membintangi drama Kiblat Ke Syurga, Lisa mengakui apa yang dilakukannya kini selari dengan tekadnya dalam mencari keredaan Ilahi.
Kata Lisa, dia sentiasa memohon doa agar diberikan petunjuk sebelum menerima sebarang tawaran demi merasai nikmat keberkatan yang Maha Esa.
“Saya percaya aturan Allah untuk hidup saya. Dalam masa sama, saya turut mencari pertolongan-Nya. Dari situ saya sedar Allah akan membuka jalan untuk saya membuat keputusan ke jalan yang Dia redhai.
“Setiap kali ada tawaran yang datang, saya selalu berdoa agar diberi petunjuk sama ada saya perlu terima atau tidak tawaran tersebut. Atau adakah dia memberi manfaat kepada saya,” ujarnya.
Malah, aktres jelita itu juga menyifatkan penghijrahannya juga merupakan sebuah pengorbanan yang berbaloi selain meletakkan kepercayaan 100 peratus terhadap aturan Ilahi.
“Saya tidak rasa ini satu pengorbanan sangat. Apa yang saya lakukan ini untuk mencari keredaan Allah. Jika ditanya berbaloi atau tidak, ya, saya anggap ia berbaloi.
“Saya percaya, aturan-Nya itulah yang terbaik untuk diri saya. Pada akhirnya, apa yang kita kejarkan adalah ganjaran-Nya dan keredaan-Nya.
“Allah bimbing dan beri hidayah itu dalam pelbagai bentuk. Dia tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya lebih dari apa yang kita tahu. Apa yang kita lalui juga adalah satu proses,” katanya. - UTUSAN
|