Dr. Diddy Hirdy, atau popular dikenali sebagai Diddy AF4, telah dianugerahkan Anugerah Penjawat Cemerlang oleh Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini. Berita tersebut telah dikongsikan beliau menerusi hantaran di Instagram peribadinya.
Kini berkhidmat sebagai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni di Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), UUM, Dr. Diddy Hirdy telah memulakan kerjayanya dalam dunia pendidikan sebagai Pensyarah Kanan pada 2021.
Walaupun dahulu dikenali ramai sebagai penyanyi dan finalis program realiti Akademi Fantasia musim keempat, beliau telah membuktikan bahawa dunia seni bukanlah halangan untuk cemerlang dalam bidang akademik.
“Anugerah bukan sandaran atau perkara yang dicari. Saya buat kerja atas rasa tanggungjawab di atas amanah yang diberikan. Dan apabila diberi penghargaan sebegini, hanya mampu mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi,” tulisnya.
Bagi pemilik nama penuh Syamsul Hirdi Muhid ini, penghargaan yang diterima adalah satu motivasi baharu untuk terus menyumbang yang terbaik dan membakar semangat.
“Semoga apa yang saya baktikan sebagai penjawat utama di UUM ini diterima sebagai satu amal ibadah. Dan anugerah ini juga memberi semangat untuk saya lakukan yang lagi terbaik di masa akan datang.
“Terima kasih Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, terima kasih Universiti Utara Malaysia,” tambah beliau lagi.
Sekadar info, anugerah tersebut merupakan satu pengiktirafan tinggi terhadap sumbangan dan dedikasi luar biasanya sebagai ahli akademik yang terlibat dalam pentadbiran universiti.
Difahamkan, Dr Diddy Hirdy hadir berkerusi roda semasa menerima anugerah kerana baru sahaja menjalani pembedahan pada bahagian kakinya.
Imbas kembali, ahli akademik dan anak seni yang kini berusia 40 tahun ini memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam bidang Muzik pada tahun 2022 dari University of Liverpool. - MEDIA HIBURAN
|