KUALA LUMPUR: Pelakon Amar Baharin yang sedang dalam kembara berbasikal ke Madinah tidak menyangka apabila ada segelintir individu menyifatkan perkara dilakukan sebagai pekerjaan bodoh.
Melalui hantaran di Instagram (IG), Amar berkongsi komen sinis dilayangkan pelayar media sosial terhadap pengembaraan dilakukan bersama penjelajah Grand Slam negara, Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin itu.
"Tak sangka ada yang cakap aku mengembara ke Masjid Nabawi kerja bodoh?," tulis Amar yang turut memaparkan komen diberikan pengguna media sosial terhadapnya.
Antara komen diberikan terhadap Amar dan Qobin adalah menyuruh mereka berhenti melakukan perkara itu kerana bukan perintah daripada Allah.
Selain itu, suami kepada pelakon dan pengacara, Amyra Rosli itu berkongsi komen seorang pelayar yang seolah-olah hairan mengapa masih ada individu melakukan perkara sebegitu.
Bagaimanapun, melalui entri sama, Amar berkongsi hadis mengenai perkara dilakukannya itu.
"Daripada Abu Hurairah RS, bahawa SAW bersabda. Maksudnya: Janganlah kamu bersusah payah mengembara (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah dan juga masjid al-Aqsa (riwayat al-Bukhari)," kongsi Amar.
Pada hantaran berikutnya, Amar berkongsi pesanan Rasulullah SAW.
"Ubat bagi kebodohan adalah bertanya - pesan Nabi SAW (mafhumnya)," kongsinya.
Semalam, Amar dan Qobin dilapor pengembaraan mereka dalam misi Journey to Tanah Haram hampir ke penghujung apabila dijangka tiba di Madinah dalam tempoh tiga hingga empat hari lagi.
Selepas merentasi beberapa negara dengan berbasikal serta menggunakan pengangkutan darat dan udara, mereka kini berada di Qassim, Arab Saudi selepas berkayuh dari Riyadh ke Al-Ghat dan sedang bersiap untuk berkayuh sejauh 120 hingga 150 kilometer (km) dari Al Henakiyah sebelum menjejakkan kaki di Madinah.
Misi kayuhan dilepaskan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail itu bermula di Padang Besar, Perlis pada 27 April lalu melalui Thailand, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi. - BH ONLINE
|