PETALING JAYA – “Saya bekas suami dia. Hari ni 26 Mei 2025 ambil sijil cerai. Sakit memang sakit, malu memang malu. Hidup kena teruskan,”
Demikian kata-kata seorang lelaki yang didakwa merupakan bekas suami kepada seorang guru wanita yang dipercayai menjalinkan hubungan sulit dengan suami orang.
Lelaki yang dikenali sebagai Muhammad Azraf itu berkata, bekas isterinya telah menjalinkan hubungan sulit ketika dalam tempoh perkahwinan lagi
Paling menyayat hati, katanya selepas melafazkan talak di mahkamah pada 24 Februari, bekas isterinya itu sempat lagi keluar makan bersama kekasih yang juga suami orang itu.
“Mulanya bersetuju untuk cerai seksyen 47 tapi semasa bicara saya minta hakim untuk tukar cerai secara nusyuz. Hakim minta bincang semula.
“Hasil perbincangan dia tetap nak diceraikan hari itu juga tapi dia gugurkan untuk tuntut nafkah eddah, mutaah dan tertunggak sekiranya ada.
“Balik mahkamah mereka bersua pergi makan kek di Secret Recipe. Saya akan ingat sampai bila-bila kejadian tu,” tulisnya di ruangan komen dalam satu hantaran.
Katanya, dia telah berkenalan dengan bekas isteri dari tadika lagi dan kawan-kawan mereka berdua saling mengenali antara satu sama lain.
Muhammad Azraf juga berkata, dia perlukan masa untuk reda dengan takdir yang ditentukan sebelum pulih sepenuhnya.
“Hari ni hari yang saya tunggu. Saya bukan suami dia lagi. Tak perlu dah angkat telefon kawan, jiran dan kenalan lain.
“Saya harap suami pertama dia reda pada dia. Saya perlu waktu untuk reda. Semoga reda ke atas dia nanti, Allalh reda ke atas saya,” katanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan seorang guru wanita menjadi mangsa kecaman selepas didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan suami orang.
Perbuatan tidak bermoral itu terbongkar apabila seorang wanita yang dipercayai isteri juruelektrik terbabit memuat naik tangkap layar perbualan berunsur lucah antara suaminya dan guru berkenaan di aplikasi WhatsApp.
Menerusi satu hantaran lain di TikTok, guru wanita berkenaan dipercayai bersemuka dengan isteri juruelektrik itu sambil merayu agar diberikan peluang kedua untuk dimaafkan.- KOSMO! ONLINE
|