Los Angeles: Penyanyi, Billie Eilish, 24, tidak puas hati dengan tindakan pihak tertentu yang menularkan foto kecerdasan buatan (AI) dirinya yang menunjukkan kononnya dia menghadiri acara Met Gala 2025.
Disebabkan foto itu, dia menerima kecaman hebat gara-gara penampilannya yang teruk kononnya dia menghadiri acara itu.
Dalam video yang dikongsikan menerusi Instagram Story, Eilish kelihatan tertawa melihat reaksi negatif netizen.
Sambil menikmati kon aiskrim, dia dengan tenang mendedahkan bahawa dia tidak menghadiri acara itu sekali gus mengesahkan foto yang tersebar adalah palsu dan hasil rekaan teknologi.
"Saya tidak berada di sana. Itu adalah AI. Saya ada persembahan di Eropah pada malam itu. Jangan ganggu saya. Saya langsung tidak berada di sana," katanya.
Dia kini rancak menjayakan siri konsert jelajah Hit Me Hard and Soft. Penyanyi lagu Bad Guy itu sebenarnya sedang mengadakan persembahan di Amsterdam, Belanda sewaktu acara Met Gala.
Eilish turut meluahkan kekecewaannya terhadap individu yang mengkritik penampilan Met Gala yang direka-reka itu.
"Melihat orang ramai bercakap mengenai apa yang saya pakai ke Met Gala tahun ini sebagai sesuatu yang teruk. Saya tidak berada di sana!" katanya.
Kejadian penyebaran foto palsu janaan AI yang mengelirukan orang ramai ini bukanlah pertama kali berlaku. Sebelum ini, penyanyi Katy Perry juga pernah menjadi mangsa serupa.
Foto palsu dirinya yang kononnya menghadiri Met Gala tular di media sosial, menyebabkan kekeliruan dalam kalangan peminat.
Perry, dalam satu hantaran di media sosialnya, turut menjelaskan ketidakhadirannya kerana jadual jelajah konsertnya sendiri yang padat. - HARIAN METRO
|