BEIJING: Sebuah hospital swasta di timur China disiasat pihak berkuasa kesihatan selepas didapati menawarkan perkhidmatan persenyawaan in-vitro (IVF) secara haram kepada wanita bujang, termasuk membenarkan mereka memilih dan bertemu penderma sperma secara terbuka.
Hospital Perubatan Tradisional Cina dan Barat Nantai di Nanjing, wilayah Jiangsu diarahkan tutup serta-merta selepas media tempatan mendedahkan kegiatan tersebut yang dilakukan tanpa kelulusan kerajaan.
Hospital itu tidak tersenarai dalam kalangan fasiliti perubatan rasmi yang dibenarkan menjalankan rawatan kesuburan di negara itu, namun menawarkan khidmat kepada wanita bujang dengan bayaran permulaan sekitar 100,000 yuan (RM59,480).
Seorang doktor dari hospital berkenaan memberitahu saluran berita Shandian News, sperma diperoleh terus daripada penderma lelaki muda berusia sekitar 25 tahun.
Menurutnya, pelanggan boleh memilih penderma berdasarkan rupa paras, latar belakang pendidikan, kewarganegaraan, malah boleh bertemu penderma secara bersemuka.
“Anda boleh pilih lelaki yang merupakan graduan universiti ternama atau yang memiliki ijazah sarjana dan PhD. Kos akan meningkat mengikut kelulusan akademik,” katanya.
Hospital itu didakwa menerima 30 hingga 40 permintaan IVF setiap bulan, malah ada pelanggan yang sanggup berbelanja hampir 300,000 yuan (RM179,000) untuk proses berkenaan termasuk menentukan jantina bayi.
Mengikut undang-undang China, wanita bujang tidak dibenarkan membekukan telur atau mendapatkan sebarang rawatan teknologi reproduktif termasuk IVF.
Hospital turut dilarang mendapatkan sperma selain daripada bank sperma rasmi, manakala pemilihan jantina bayi secara IVF juga tidak dibenarkan di bawah peraturan sedia ada.– AGENSI
|