PETALING JAYA – Tindakan sebuah sekolah meminta ibu bapa agar menyediakan hadiah bagi sambutan Hari Guru di sekolah mereka baru-baru ini mendapat kecaman orang ramai.
Menerusi satu hantaran di aplikasi Thread, seorang penjaga berkongsi tangkap layar pesanan berkenaan di kumpulan WhatsApp sekolah swasta tersebut mengenai sambutan hari guru di sekolah itu.
Apa yang membangkitkan kemarahan ialah, pesanan tersebut meminta agar ibu bapa tidak memberi hadiah seperti pen, cawan, bingkai gambar dan bunga-bunga kecil kepada guru-guru.
“Dengan rendah hati, kami memohon kepada ibu bapa agar membekalkan anak-anak hadiah untuk diberikan pada guru pada hari tersebut.
“Kami memohon jasa baik tuan puan untuk tidak memberi pen, mug, frame atau bunga-bunga kecil kepada guru-guru.
“Hadiah yang berkah adalah hadiah yang memberi manfaat,” kata hantaran itu.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna mengecam tindakan pihak sekolah yang dikatakan meminta-minta.
“Peliknya guru zaman sekarang, masa saya sekolah dulu tak pernah pun dengar cikgu meminta begini,” kata Fatin.
“Sahih ke ni? Takut orang buat mesej palsu, jarang dengar sekolah minta hadiah. Kalau betul, kasihan pada pelajar yang kurang mampu,” kata Azlee.
“Apa jenis perangailah, kan bagus dapat pen kau boleh pakai. Kalau sekolah anak aku, aku suruh anak tak datang terus,” kata Zura. – KOSMO! ONLINE
|