GELAGAT mencuit hati seekor kambing biri-biri yang dilihat melompat dan berlari sambil mengekori pemiliknya menjadi perhatian warganet baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, biri-biri milik Wan Aifaa Shafia Wan Mohd Sopi, 30, itu dilihat begitu mesra dan akan mendekati sesiapa sahaja untuk meminta kepalanya diusap.
Aksi manja haiwan ternakan yang dinamakan Mbek itu yang suka 'berkepit' dan mengekori pemiliknya dilihat tidak ubah seperti haiwan peliharaan yang sentiasa inginkan perhatian.
Malah, tidak seperti biri-biri yang biasa dilihat di kandang, Mbek dilayan seperti haiwan peliharaan yang ditempatkan di halaman rumah pemiliknya di Jitra, Kedah.
Wan Aifaa berkata, biri-biri jantan itu ditemui sedang memakan rumput pada sebelah malam di hadapan rumahnya.
Disebabkan kasihan dan bimbang dengan keselamatan biri-biri berusia sebulan itu, dia membawa masuk dan meletakkannya di halaman rumah.
"Saya kemudian memaklumkan dalam kumpulan WhatsApp taman perumahan berkenaan biri-biri itu, namun tiada sesiapa yang mengetahui pemilik haiwan itu.
"Sementara mencari pemilik, saya dan suami buat keputusan untuk menjaganya dahulu di halaman rumah. Rumah kami yang terletak di lot tepi memberi keselesaan kepada kambing itu bermain," katanya.
Menurutnya, selepas tiga minggu, baru Wan Aifaa berjaya menemui pemilik biri-biri terbabit.
"Saya difahamkan, biri-biri itu kematian ibunya dan dikatakan 'dibuli' kambing dan lembu peliharaan individu terbabit sebelum ia melarikan diri.
"Individu terbabit bersetuju menjual biri-biri itu dan kini Mbek secara rasmi menjadi haiwan peliharaan kami," katanya.
Berkongsi penjagaan biri-biri itu, setiap hari Wan Aifaa memberikan rumput jenis 'hay' dan palet.
"Sejak memelihara Mbek, setiap pagi saya bersihkan najis kambing di kawasan halaman rumah untuk mengelakkan bau kurang menyenangkan yang boleh memberi ketidakselesaan kepada jiran," katanya.
Wan Aifaa yang turut memelihara empat kucing berkata, Mbek yang memiliki karakter sangat manja dan mudah mesra memudahkan urusan penjagaannya.
"Saya pernah hantar Mbek untuk dijaga sementara oleh pemelihara kambing kerana ada urusan di luar selama beberapa hari dan saya dimaklumkan Mbek sangat manja dengan manusia berbanding bersama kambing lain.
"Setiap hari, saya membawanya berjalan-jalan di sekitar kawasan perumahan dan Mbek sentiasa menjadi perhatian dalam kalangan jiran yang ingin bermain dengannya.
"Paling menggembirakan, setiap kali pulang dari kerja, Mbek sedia menanti di pintu pagar untuk menyambut kepulangan saya di rumah. Apabila gembira Mbek akan menggoyangkan ekornya," katanya.
Wan Aifaa turut aktif berkongsi perkembangan Mbek di akaun TikTok miliknya yang mendapat maklum balas positif dalam kalangan warganet.
"Ramai yang suka melihat aksi lucu Mbek yang gembira setiap kali dibawa bersiar-siar di sekitar taman," katanya. - HARIAN METRO
|