Ampang: Seramai 18 individu termasuk tujuh kanak-kanak yang sedang beriadah di Sungai Lepoh, Hulu Langat di sini, berdepan detik cemas hari ini apabila terperangkap akibat kepala air.
Mereka kemudiannya diselamatkan pasukan bomba yang menerima panggilan pada 5.09 petang.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Ampang dengan kekuatan tujuh pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Komander Operasi melaporkan terdapat 18 orang terdiri daripada tiga lelaki, lapan wanita dan tujuh kanak-kanak terkandas akibat kepala air.
"Pasukan kemudian segera menjalankan operasi dan kesemua mangsa berjaya diselamatkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat seorang wanita yang mengalami sesak nafas diserahkan kepada pegawai perubatan untuk rawatan lanjut.
Katanya, operasi menyelamat selesai pada 6.32 petang. - HARIAN METRO
|