MENGINJAK usia 40 tahun, pelakon dan usahawan Zoey Rahman masih lagi belum berputus asa untuk mencari pasangan hidup.
Tanpa berselindung, Zoey atau Mohd Hairey Azhar Abdul Rahman, mengaku dia kini sedang berkawan rapat dengan seorang wanita.
Zoey mendedahkan mereka banyak bekerjasama mempromosikan produk keluarannya menerusi sesi siaran langsung di TikTok.
“Kami berkawan sahaja, boleh dikatakan ‘teman tapi mesra’.
“Orang dalam industri juga, kami memang bersetuju buat live sama-sama bagi mempromosikan produk terbaharu saya.
“Setiap hari memang kami akan buat live dan content bersama. Jadi kami mula rapat. Doakan semoga kami dipermudahkan segala urusan,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, pelakon drama From Saga With Love ini hubungannya bersama wanita tersebut bukanlah satu gimik, malah mengakui dia kini memang sedang mencari pasangan sesuai.
Malah sekiranya mereka mahu meneruskan hubungan ke fasa lebih serius, Zoey memberitahu dia tidak teragak-agak untuk berkongsi berita gembira secara umum.
“Saya masih lagi mencari, bila balik kampung ramai tanya bila saya nak kahwin. Kita hanya merancang tetapi Tuhan menentukan.
“Kalau memang saya benar-benar dengan wanita itu, semua orang pasti tahu nanti. Saya tidaklah berahsia.
“Ini bukan gimik, hubungan ini memang betul-betul dari hati. Saya tertarik dengan sikap manja dan perwatakannya yang lemah lembut. Lagi pun kami memang serasi bersama ,” ujarnya.
Zoey bagaimanapun tidak menafikan timbul rasa cemburu melihat rakan-rakan yang sudah berumah tangga, sekali gus membuatkan dirinya terasa mahu menamatkan zaman bujang.
“Orang kata kalau berkawan biarlah beribu. Sekarang ini kami masih lagi mengenali hati budi masing-masing. Kalau ada jodoh insya-Allah dipermudahkan kahwinlah kami.
“Umur pun dah tua kan, saya cemburu tengok kawan-kawan pergi bercuti dengan anak isteri, pergi umrah pegang tangan depan Kaabah. Kita? Sedih,” katanya. - mStar
|