PELAKON Sarah Hildebrand berkongsi khabar gembira dirinya kini sedang hamil anak sulung.
Sarah atau Nur Sarah Hilderbrand Asyraf Hilderbrand, 35, memuat naik gambar imbasan menunjukkan kandungannya sudah memasuki usia tiga bulan.
Malah dia juga menulis kapsyen ringkas meluahkan kegembiraan bakal bergelar ibu.
"Semuanya sedang berkembang," ujarnya.
Sebelum ini pelakon berkenaan juga memuat naik gambar alat ujian kehamilan memaklumkan perkara sama.
Dalam hantaran yang dimuat naik, Sarah memberitahu dia sedang menikmati kehidupan tanpa banyak berkongsi di sosial media.
"Lama tidak berjumpa. Saya sibuk dengan kehidupan dan mencipta memori.
"Satu perkara ini tidak mungkin saya lepaskan untuk kongsi," jelasnya.
Pada Ogos tahun lalu, Sarah juga memuat naik beberapa keping gambar memberi bayangan dia kembali berumah tangga dengan seorang jejaka mat salih.
Pasangan tersebut dilihat meraikan hari bahagia mereka dalam sebuah majlis yang cukup ringkas.
Sarah sebelum ini membuat keputusan meninggalkan Malaysia dan menerima tawaran untuk berkhidmat dengan Tentera Udara Amerika Syarikat.
Dia sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan lelaki bernama Otto Gillen pada November 2019 namun bercerai tidak lama kemudian. - mStar
|