PERTAMA kali menjalinkan kerjasama, komposer asal Indonesia memuji komitmen diberikan penyanyi Bella Astillah sepanjang penghasilan lagu terbaharu berjudul Lebih Indah Berpisah.
Bukan sekadar profesisonal dalam kerja, menurut Ade juga Bella dapat mendalami setiap makna dalam lagu ciptaannya itu dengan baik.
"Lagu ini membawa mesej bahawa berpisah bukanlah sebuah kegagalan tetapi satu langkah berani menuju kehidupan lebih indah berbanding terus berjuang dalam hubungan tidak seimbang.
"Bella memperlihatkan kesabaran, keikhlasan dan ketulusan luar biasa namun setiap orang pasti ada batasnya. Lagu ini adalah penghormatan kepada kekuatan hati.
"Bella sangat profesional, bukan sahaja dalam nyanyian malah lakonan dalam video muzik juga menunjukkan kesungguhan luar biasa.
"Tidak ramai wanita yang mampu menunjukkan ketabahan dan komitmen sepertinya. Bella memang hebat," katanya.
Bercakap tentang lagu ini, Bella atau Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, memberitahu ia sebuah karya istimewa buat dirinya.
Seperti tajuknya, ia juga seolah menggambarkan apa pernah dilalui oleh Bella dalam kehidupan peribadinya.
"Lagu ini ditulis dengan penuh jiwa dan semangat oleh Ade, menggambarkan keberanian untuk berpisah dengan penuh keikhlasan.
"Bermula daripada cadangan tajuk yang sedikit berbeza, akhirnya saya dan Ade sepakat memilih perkataan indah sebagai teras utama judul ini. Ia mencerminkan sisi positif daripada sebuah perpisahan," ujarnya.
Dalam masa sama dia meluahkan rasa terharu apabila kehadirannya ketika merakamkan lagu di Jakarta, Indonesia diterima baik tenaga kerja di sana.
Menerusi kerjasama kali ini juga Bella harap dia dapat terus memperbaiki mutu nyanyian sekali gus diterima baik pendengar.
"Saya buat lagu ini bukan untuk bersaing dengan sesiapa tetapi untuk diri saya sendiri dan menjadi lebih baik.
"Sewaktu proses rakaman, suasana di studio sangat positif dan penuh sokongan. Ini menjadikan pengalaman rakaman bebas tekanan," kongsinya. - mStar
|