DALAM dunia lakonan, tidak semua diberi peluang menyarung jubah wira gagah. Ada juga yang diangkat sebagai pemain antagonis, mencipta ketakutan dalam jiwa penonton sehingga wajahnya sahaja cukup untuk membuat bulu roma berdiri.
Wajah bengis, pandangan tajam dan senyuman sinis menjadikan mereka bukan sekadar pelakon biasa, malah legenda dalam membawakan watak penuh dendam dan kejam.
Kadangkala, lakonan hebat ini menyebabkan mereka dibenci di luar layar, bukti betapa kuatnya kesan watak jahat pada emosi khalayak.
Namun, di balik setiap kekejaman itu, tersembunyi bakat luar biasa yang berjaya menghidupkan naskhah hingga meletup di carta tontonan.
Kimchi Panas minggu ini menyenaraikan lima bintang Korea yang berjaya mengukir nama dalam sejarah drama dan filem menerusi watak penuh kejahatan sehingga sukar dipadam dari ingatan.
Kim Seo-hyung
Namanya melonjak mendadak menerusi drama sensasi Sky Castle, saat membawakan watak Kim Joo-young, seorang guru penasihat panas baran.
Aktres berusia 51 tahun itu menggambarkan kejahatan dalam bentuk wajah tenang, namun menusuk ibarat pisau tajam.
Tanpa perlu menaikkan suara, setiap kata-katanya terasa seakan-akan hukuman mati.
Penonton tidak dapat membenci kejahatan wataknya sepenuhnya, malah terseret dalam kekaguman terhadap kebijaksanaan licik Joo-young.
Uhm Ki-joon
Siapa sahaja mampu melupakan kelicikan Joo Dan-tae dalam drama fenomena Penthouse?
Uhm Ki-joon membuktikan bahawa seorang lelaki dengan sut mahal dan senyuman manis mampu menjadi pemangsa paling kejam.
Melangkah dengan penuh karisma, aktor berusia 49 tahun itu mencipta watak Dan-tae sebagai lambang ketamakan, pengkhianatan dan kebuasan manusia tanpa batasan.
Setiap helahnya dalam siri tersebut membuatkan penonton bergolak antara benci dan kagum.
Namgoong Min
Melalui drama Remember: War of the Son, Namgoong Min membuktikan dirinya bukan sekadar pelakon biasa apabila membawakan watak Nam Gyu-man, pewaris syarikat kaya yang kejam dan tidak berhati perut.
Dengan hanya satu lirikan mata, aktor berusia 47 tahun itu berjaya menyalurkan keangkuhan dan keganasan psikologi yang menghantui penonton hingga ke episod akhir.
Penampilannya membuatkan ramai membenci watak Gyu-man sehingga ke tahap ada peminat memohon agar dia ‘dihukum’ sewaktu tayangan drama tersebut.
“Menjadi penjahat memerlukan lebih disiplin berbanding menjadi hero. Anda perlu buat orang membenci tanpa kelihatan palsu,” kata Namgoong Min menerusi satu temu bual.
Shin Sung-rok
Shin Sung-rok bukan sekadar pelakon, tetapi raja sebenar watak antagonis dalam drama Korea.
Mana tidaknya, menerusi My Love from the Star dan The Last Empress, aktor berusia 42 tahun itu menghidupkan susuk jahat dengan ketenangan menggerunkan.
Senyuman kecilnya mampu menjerut leher lawan, malah setiap dialog dilontarkan penuh nada sinis, mencipta suasana ngeri dalam dewan penonton.
Penonton sering mengakui bahawa tanpa lelaki tinggi lampai itu, drama bergenre thriller atau revenge pasti terasa hambar dan kurang bernafas.
Lee Elijah
Muncul dalam The Last Empress sebagai Min Yoo-ra, Lee Elijah berjaya mencipta watak antagonis wanita yang penuh kelicikan dan manipulasi halus.
Wataknya bukan sekadar jahat dengan tindakan, tetapi menikam dari dalam, perlahan-lahan menghancurkan musuh tanpa meninggalkan kesan luka.
Aktres berusia 35 tahun itu mempamerkan kejahatan menerusi pelbagai lapisan dengan wajah polos penuh air mata, tetapi niatnya setajam sembilu.
Penonton sering terperangkap dengan lakonannya, tidak mampu menduga gerak seterusnya sehingga ada yang terlalu membencinya, namun menerima hakikat naskhah hebat itu tidak akan sempurna tanpa wataknya. –
HIBGLAM