View: 10643|Reply: 11
|
Gadis misteri berpurdah, ular tunjuk jalan keluar. Pemuda ini cerita apa yang berlaku semasa hilang 7 hari di bukit Broga
[Copy link]
|
|
SAYA ingat lagi, hari itu Ahad, 22 Januari 2017. Majikan mengajak saya bersama empat lagi rakan sekerja mendaki bukit Broga yang terletak di Semenyih, Selangor.
Pagi itu, saya menghubungi ibu, Rohana Saad, di kampung meminta izin untuk turut serta. Ibu mengizinkan dan berpesan supaya saya menjaga diri.
Seperti yang dirancang, sekitar pukul 4.00 petang, kami sampai di kaki bukit dan pendakian dimulakan. Saya hanya memakai selipar saja. Ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke bukit tersebut.
Kami seramai enam orang memulakan pendakian. Saya berjalan di depan sekali, mengikut trek. Kurang sejam berjalan, saya sudah jauh meninggalkan rakan-rakan lain di belakang. Saya sudah sampai di peringkat kedua. Dari atas, saya nampak kelibat rakan-rakan lain yang masih menapak meneruskan pendakian. Saya berhenti seketika untuk menunggu rakan-rakan tiba.
Apabila mereka semakin hampir, saya melangkah semula meneruskan pendakian ke peringkat ketiga. Ketika berjalan itu, saya berselisih dengan beberapa orang pendaki lain yang dalam perjalanan turun ke bawah.
Lebih kurang pukul 6.30 petang, saya tiba di hentian ketiga. Saya memerhati sekeliling. Tiada sesiapa di situ. Hanya saya seorang diri. Saya berhenti berehat seketika sambil menunggu rakan-rakan lain yang jauh tertinggal di belakang.
Sambil menanti, mata saya asyik melihat ke arah Gunung Tok Wan yang kelihatan jelas puncaknya. Untuk sampai ke puncak gunung itu, saya rasa perjalanannya masih jauh.
Selepas mengamati gunung itu, saya berpaling semula untuk melihat rakan-rakan yang lain. Tapi, saya tergamam. Entah dari mana munculnya, di depan saya berdiri seorang kanak-kanak perempuan berjubah putih. Usianya dalam lingkungan 10 tahun. Saya tidak nampak wajahnya kerana kanak-kanak itu berpurdah. Hanya dua biji matanya yang kelihatan.
Sebaik menatap kanak-kanak itu, saya terasa suasana persekitaran mula berubah. Suasana jadi gelap. Saya pula jadi dungu, langsung tidak mengingati perkara lain. Mata saya hanya terpaku pada kanak-kanak itu, seolah-olah dipukau.
Apabila budak itu melangkah, saya terus mengekorinya seperti seekor lembu ditarik tali. Budak itu berjalan meredah semak samun pokok lalang membawa saya menuju ke arah Gunung Tok Wan.
Seingat saya lebih kurang lima minit berjalan, saya sudah sampai di gunung Tok Wan sedangkan sebelum ini, kedudukan jaraknya masih terlalu jauh. Mustahil dalam waktu singkat boleh sampai ke situ.
“Abang, kita rehat di sini dulu. Hari pun dah gelap. Kita tidur di sini,” budak itu bersuara. Saya pula hanya mengikut arahannya tanpa sebarang bantahan. Jauh sekali untuk bertanya.
Budak perempuan itu kemudian mematahkan anak-anak pokok. Rimbunan daun-daunnya dihamparkan ke atas tanah.
“Abang tidur sini ya,” kata budak itu memberi arahan.
Sungguh, saya seperti orang bodoh. Apa yang disuruhnya, saya buat. Saya berbaring di atas hamparan daun tadi. Entah bila saya terlelap, saya tidak pasti.
Esoknya apabila tersedar, saya sudah berada di dalam sebuah gua pula. Entah bagaimana saya boleh berada di situ, sukar hendak dijelaskan. Saya sendiri tidak tahu kerana langsung tidak mengingati apa yang berlaku.
Awal pagi itu selepas terbangun dari tidur, sekali lagi budak perempuan itu muncul. Namun, kedatangannya kali ini bersama ahli keluarganya iaitu ibu, ayah dan seorang kakaknya.
Mereka semua mengenakan pakaian serba putih. Yang perempuan semua berpurdah. Manakala bapanya pula berjubah dan berserban putih. Janggutnya panjang.
Tapi, wajah mereka tidak kelihatan begitu jelas. Saya hanya nampak samar-samar sahaja kerana seperti ada kabus atau asap menyelubungi kawasan itu yang menyamarkan pemandangan.
Kemudian, kakak kanak-kanak tadi datang menghampiri saya. Kali ini, susuknya kelihatan lebih jelas. Nampak anak matanya yang bersinar di sebalik purdah yang dikenakannya itu. Kulitnya putih bersih.
“Kamu hendak kahwin dengan aku?” soalnya sebaik berdiri di depan saya.
Saya diam, tidak menjawab. Soalan sama diajukan lagi beberapa kali sehingga saya menjawab, tidak mahu. Mendengar jawapan saya, mereka berundur sebelum ghaib sekelip mata, meninggalkan saya seorang diri di dalam gua sehingga hari berganti malam.
Ketika itu, saya juga tidak pasti mengapa saya tidak lari atau cuba mencari jalan keluar dari situ. Saya seolah-olah mati akal, seakan fikiran gagal berfungsi untuk berfikir.
KEESOKAN harinya, sekali lagi saya menerima kunjungan keluarga tersebut. Seperti sebelum ini, soalan sama ditanya gadis itu, adakah saya mahu berkahwin dengannya.
Saya tetap berkeras dengan jawapan yang sama. Saya tidak mahu memperisterikannya. Bila saya jawab begitu, sekali lagi keluarga ini ghaib. Saya tinggal lagi di gua itu sampai malam. Masuk hari ketiga, gadis itu masih belum berputus asa. Apabila muncul, dia masih menanyakan soalan sama.
“Mahu kahwin dengan aku?” tanyanya lagi.
“Kalau saya kahwin, ada apa-apa syarat tak?” kali ini saya pula menyoalnya.
Gadis itu mengangguk. Ujarnya, sekiranya bersetuju, saya perlu mengikut beberapa syarat. Antaranya, saya tidak dibenarkan pulang bertemu emak dan ayah. Kalau diberi izin sekalipun, sebelah petang saya perlu kembali semula ke alamnya. Tapi semasa tempoh kepulangan itu, saya tak boleh berbual atau berhubung dengan sesiapa. Katanya lagi, tempoh syarat ini selama tiga tahun.
Sekiranya saya bersetuju dengan permintaannya, mereka akan menurut segala permintaan saya. Jika saya mahu mereka memberikan emas, berlian atau apa sahaja kepada ibu bapa saya, mereka akan tunaikan. Tapi, sekiranya saya melanggar syarat yang ditetapkan, saya akan gila atau hilang ingatan buat selamanya.
Selepas mendengar penjelasan itu, saya diam. Saya lebih sayangkan kedua orang tua saya. Saya juga tiada keinginan untuk tinggal di alam mereka.
“Saya tak mahu kahwin dengan awak!” jawab saya, tetap dengan pendirian sebelum ini.
Apabila saya memberitahu jawapan yang sama, sekali lagi mereka berundur dan ghaib. Saya ditinggalkan seorang diri di dalam gua tersebut.
Selama tiga hari di dalam gua itu, saya hanya mengalas perut dengan meminum air yang keluar dari celah-celah batu dan buah-buah hutan yang ada di sekitar gua itu.
PADA hari keempat, ketika sedang tidur, saya tersedar apabila dikejutkan dengan sesuatu yang jatuh menghempap badan. Sebaik membuka mata dan melihat objek tersebut, saya tergamam. Kalau saya ceritakan, pasti orang sukar hendak percaya kerana di luar logik akal manusia. Tapi itulah yang saya nampak.
Benda yang jatuh menghempap badan itu sebenarnya seekor ular tedung selar. Saiznya amat besar, sebesar paha lelaki dewasa. Melihat ular itu, saya terpaku. Terkejut.
Ular itu kemudiannya berdiri merenung saya. Lebih aneh dan mengejutkan, ular itu boleh berkata-kata. Melihat saya sedikit takut, ular tadi bersuara.
“Jangan takut, aku nak beritahu, ada orang hantar aku untuk bantu engkau,” kata ular itu dengan suara garau.
“Bila cahaya matahari menyuluh mata, ikut arah cahaya matahari itu untuk keluar dari gua ini!” ujar ular itu memberi arahan.
Saya diam tak terkata. Ular itu juga diam, hanya merenung memerhatikan saya. Entah berapa lama kami begitu, saya tak pasti. Tapi sebaik cahaya matahari pagi masuk menyuluh ke dalam gua, serta merta ular misteri itu berubah menjadi sebatang tongkat kayu yang berlingkar seperti seekor ular.
Spontan juga saya capai ular yang sudah jadi tongkat tadi lalu mula berjalan keluar. Saya mula menapak, mengikut arah cahaya matahari meredah semak samun dan belukar.
Beberapa lama berjalan, saya mula terdengar suara orang sebelum nampak kelibat mereka. Saya cuba menjerit, memekik sekuat hati meminta tolong. Tapi suara saya itu bagai tidak didengari. Mereka berlalu pergi tanpa menyahut panggilan saya. Saya terus berjalan. Sekali lagi, saya terdengar suara orang berbual.
“Tolong! Tolong!,” saya menjerit lebih kuat.
Syukur alhamdulillah, kali ini suara saya meminta tolong didengari. Panggilan saya itu dijawab dalam bahasa Inggeris. Mereka kata, jika saya manusia, mereka meminta saya menggoyangkan pokok.
Saya lakukan apa yang disuruh dan dengan sisa kudrat yang ada, saya meredah belukar yang tingginya menenggelamkan kelibat saya. Puas meredah, akhirnya saya diselamatkan oleh dua orang pendaki warga Britain sekitar pukul 9.30 pagi.
Mereka kemudiannya mendapatkan bantuan daripada pendaki lain sebelum pasukan penyelamat tiba mengiringi saya turun. Sebaik sampai di bawah, saya lihat orang ramai sudah berkerumun di kaki bukit Broga. Baru saya tahu, rupa-rupanya berita kehilangan saya sudah heboh. Ibu, ayah, dan saudara mara saya turut ada sekali. Mereka juga menyertai operasi mencari sebelum itu.
Semasa dibawa ke hospital, ibu yang menemani memberitahu bahawa saya telah hilang selama 7 hari. Mendengarnya, saya terkejut. Tujuh hari? Saya macam tak percaya. Seingat saya sepanjang saya hilang, saya mengira siang dan malam. Saya rasa baru empat hari saya hilang. Bagaimana boleh jadi tujuh hari?
SEMASA dirawat di hospital, ramai orang datang melawat dan bertanya apa yang terjadi. Di situ juga kali pertama saya membuka kisah yang saya alami. Ibu adalah orang pertama yang saya ceritakan apa yang saya alami semasa berada di bukit tersebut.
Malah, semasa terbaring atas katil wad itu juga, gadis misteri berpurdah itu masih muncul. Hanya saya seorang di situ yang boleh melihatnya. Kali ini, dia merayu-rayu agar saya mengahwininya. Tapi saya tetap dengan pendirian asal, menolak lamarannya itu.
“Sekarang engkau di dunia aku. Kalau engkau boleh ikut arahan aku, baru aku terima,” kali ini saya pula memberi syarat kepada gadis misteri itu.
Apabila saya jawab begitu, gadis itu ghaib. Pun begitu, dia masih mengekori saya, tetapi hanya muncul dari jauh. Saya boleh nampak kelibatnya. Cuma, dia tidak lagi mendekat dan merayu seperti sebelum itu.
Selepas keluar dari hospital, kelibat gadis misteri berpurdah itu masih muncul seakan mengekori saya tapi hanya dari jauh. Sebab itu ibu membawa saya pulang ke kampung di Kedah untuk mendapatkan rawatan alternatif. Saya dibawa berjumpa seorang ustazah. Semasa sampai di rumah ustazah itu, ustazah itu bertanya siapa yang saya bawa. Katanya, ramai yang ‘mengikut’ saya ketika itu, semuanya berjubah putih.
Setelah ibu saya ceritakan keadaan saya, baru ustazah itu faham. Dia rawat saya dan bekalkan sehelai kain kuning. Kain itu diletakkan di bawah bantal sebelum saya tidur. Sejak itu, kelibat gadis itu tidak lagi kelihatan.
Saya sendiri tidak tahu siapa gadis tersebut. Cuma, menurut perawat yang mengubati saya, gadis itu mungkin Bunian. Dan mereka ‘menculik’ saya kerana mahu saya berkahwin dengan gadis tersebut.
Hingga ke hari ini, saya tertanya-tanya kenapa saya yang dipilih? Mengapa gadis itu beria-ia mahu saya berkahwin dengannya? Pernah saya tanya pada gadis misteri itu dulu, mengapa saya yang dipilihnya. Tapi dia diam, tidak menjawab.
Syukurlah saya boleh pulang semula ke pangkuan keluarga. Bayangkan kalau saya kata ‘setuju’ pada pertanyaannya dahulu, mungkin sehingga sekarang saya tidak ditemui lagi.
Lagi satu, saya juga tertanya-tanya tentang ular yang boleh berkata-kata yang membantu saya untuk keluar dari gua itu. Siapa yang ‘menghantar’ ular itu?
NOTA : Saya dalam kisah di atas ialah Mohd Azarul Mukhriz Abd Rahman, 20, pemuda yang hilang selama 7 hari semasa mendaki bukit Broga pada Januari 2017. Kisah kehilangan Azarul ketika itu mendapat liputan meluas. Pihak berkuasa termasuk sukarelawan melakukan misi menjejak dan mencarinya, namun kelibat Azarul gagal dikesan. Azarul yang bekerja sebagai mekanik hilang semasa melakukan pendakian bersama majikannya dan empat lagi rakannya. Hanya selepas seminggu, Azarul ditemui dalam keadaan lemah oleh dua orang pendaki warga Britain.
Berita penemuan Azarul heboh diperkatakan. Bermacam-macam teori dan spekulasi dicanang. Kebanyakannya melaporkan Azarul telah dibawa ke alam lain. Selama kehilangannya itu, dia ‘dijaga’ seseorang. Ada macam-macam kisah mengenai kejadian di sebalik kehilangan Azarul dilaporkan.
Selepas Azarul ditemui dan keluar hospital, wartawan Mastika ketika itu datang menemui beliau. Dalam temubual tersebut, pemuda ini mengimbas semula satu persatu apa yang dilaluinya semasa hilang di bukit tersebut. Mungkin apa yang dipaparkan dalam kisah di atas ada perbezaan dengan apa yang dilaporkan di Internet. Namun, cerita di atas adalah berdasarkan apa yang disampaikan sendiri oleh Azarul kepada Mastika.
Sumber: Utusan TV
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
|
"...wartawan Mastika ketika itu datang menemui beliau.."
...hasanah sangat ni...over delulu |
|
|
|
|
|
|
|
Risau btl masuk2 hutan ni |
|
|
|
|
|
|
|
selalu yg diculik bunian ni lawa2 hensem.. ni rupanya tak tau lah nak cakap.. betul ke cerita ni |
|
|
|
|
|
|
|
doubleA replied at 27-3-2025 12:03 AM
Dijemput john @Exoskeleton beri ulasan kisah ni
eh? kenapa seru aku ni? hahaha. bukan bukit broga tu macam kecik je ke kalau untuk hiking? sekeliling tu memang hutan jugak la. dulu boleh kata rajin jugak pergi hiking, biasa akan ada yg datang sambut. senang orang kita cakap, penjaga. macam kita, manusia ada macam2 agama. penjaga ni macam tu jugak. kalau tengok penjaga yang bukan Islam yang datang, memang sekali je la melawat situ. ada yang sambut elok, ada yang kasar. ada jugak yg ingat kita nak lawan dgn dia. ada yang mengaku dan berpakaian Islam, tapi sebenarnya tak. ada yang nak berdebat je...letih. jadi aku lepak rumah je |
|
|
|
|
|
|
|
Exoskeleton replied at 31-3-2025 08:22 PM
eh? kenapa seru aku ni? hahaha. bukan bukit broga tu macam kecik je ke kalau untuk hiking? sekelil ...
Nak dengar ulasan ko. Aku tak pernah hiking bukit broga matriye john, nanti update la cerita kt benang ko |
|
|
|
|
|
|
|
kalau pi hiking, geraklah secara berkumpulan. jangan tinggal group
jangan ikut hati sendiri naik tinggalkan group.. banyak makhluk memerhati |
|
|
|
|
|
|
|
kalau dgr cerita org hilang kat hutan mesti terigt kes acap hilang kat gua tempurung tu |
|
|
|
|
|
|
|
black_handbag replied at 28-3-2025 10:31 AM
selalu yg diculik bunian ni lawa2 hensem.. ni rupanya tak tau lah nak cakap.. betul ke cerita ni
Tapi diorg tengok jugak amalan org yg diculik tu kan?
Kalau hensem tp perampok tak berkenan kot diorg  |
|
|
|
|
|
|
| |
|