Christine Papin dan Lea Papin merupakan dua beradik yang berasal dari bandar Le Mans, di barat laut Perancis. Dua beradik ini mencetuskan kejutan di bandar itu pada tahun 1933, di mana ia tercatat antara tragedi ngeri yang pernah berlaku di pekan kecil itu.
Christine lahir pada tahun 1905. Lea pula pada 1911. Mereka berbeza usia enam tahun dan datang daripada keluarga yang bermasalah. Orang tua mereka kaki alkohol. Kedua beradik ini sering diabaikan dan dibesarkan oleh orang lain kerana masalah perkahwinan ibu bapa mereka. Mereka mempunyai seorang lagi kakak yang menjadi biarawati.
Meningkat usia remaja, adik-beradik Papin mula bekerja sebagai pembantu rumah. Pada tahun 1926, kedua-dua mereka diterima bekerja di rumah keluarga Rene Lancelin, seorang bekas peguam. Lancelin tinggal di rumah itu bersama isterinya, Leonie dan anak perempuan mereka, Genevieve.
Kedua beradik Papin mempunyai tugas masing-masing. Christine sebagai tukang masak, manakala Lea membersihkan rumah. Setiap hari, mereka diberi waktu rehat selama dua jam selepas waktu makan tengah hari. Kedua mereka lebih suka memerap dalam bilik di tingkat paling atas semasa rehat.
Masuk tahun 1933, sudah hampir tujuh tahun adik-beradik Papin berkhidmat dengan keluarga Lancelin. Christine sudah berusia 27 tahun, Lea pula 21 tahun. Semuanya berjalan seperti biasa sehinggalah tiba tarikh 2 Februari 1933.
Petang itu, Lancelin sepatutnya bertemu dengan isteri dan anaknya di rumah seorang rakan mereka untuk makan malam. Namun, isteri dan anaknya tidak muncul.
Lancelin pulang ke rumah sekitar jam 7.00 malam tapi tidak dapat masuk ke rumahnya kerana pintu dikunci dari dalam. Dia perasan cahaya dari api lilin di tingkat paling atas, iaitu bilik pembantu rumahnya.
Lancelin meminta bantuan polis yang terpaksa memanjat untuk masuk ke dalam rumah tersebut. Apa yang mereka temui, sesuatu yang mengejutkan!
Sebaik masuk ke rumah itu, polis menemui dua mayat wanita dalam keadaan mengerikan. Kepala dan wajah mereka cedera teruk dan hampir hancur hingga sukar dikenali.
Kaki dan punggung mayat luka dikelar pisau. Mata dicungkil, kuku dicabut. Ada antara biji mata ditemui di atas tangga, dalam lipatan skarf pada leher mayat dan ada juga di bawah mayat tersebut.
Kedua-dua mayat itu disahkan adalah Leonie dan Genevieve, isteri dan anak perempuan Lancelin yang sebelum itu ditunggu-tunggu untuk datang makan malam bersama.
Mayat Leonie ditemui dalam keadaan terlentang, manakala Genevieve dalam keadaan tertiarap. Di sebelah mayat mereka terdapat sebilah pisau dapur. Darah bersimbahan hingga percikannya mengenai dinding setinggi dua meter.
Apa yang berlaku?
Seterika Pencetus Kemarahan
2 FEBRUARI 1933, jam 5.30 petang. Leonie dan Genevieve tiba ke rumah mereka. Dua beranak itu pulang dan akan bersiap keluar tidak lama kemudian untuk temu janji makan malam dengan Lancelin di luar.
Ketika sampai, rumah dalam keadaan gelap. Dikatakan seterika yang rosak digunakan Christine telah menyebabkan fius elektrik di rumah itu terbakar. Sebelum itu, seterika tersebut pernah rosak dan sudah dihantar untuk dibaiki.
Apabila Christine memberitahu seterika itu rosak lagi, Leonie mula berang dan itu mencetuskan pertengkaran antara Christine dengan majikannya itu. Chistine hilang sabar dan mula mengamuk. Dia meluru ke arah Genevieve, menyerang lalu mengorek mata anak majikannya itu dengan jari.
Melihat kakaknya yang bagai sudah kerasukan, Lea juga bagai menurut. Dia berlari untuk menarik Leonie dan diarah kakaknya untuk turut mengorek mata majikan mereka itu.
Christine turun ke tingkat bawah dan datang semula dengan sebilah pisau dan tukul. Dengan senjata itu, kedua beradik Papin ini bertindak gila dengan membelasah dan mengelar majikan mereka itu. Kepala mereka turut dihentak sehingga retak dengan jug. Dua beranak itu mati dibunuh kejam oleh adik-beradik Papin. Setelah itu, kedua beradik itu naik ke tingkat atas dan berkurung dalam bilik mereka.
Apabila polis sampai dan menemui mayat kedua wanita itu di tingkat satu, polis melakukan pemeriksaan ke seluruh rumah. Pada mulanya, mereka menyangka ada penceroboh masuk ke rumah dan mungkin kedua beradik itu dibunuh sama.
Tiba di tingkat atas sekali, pintu bilik Christine dan Lea berkunci. Setelah pintu berjaya dibuka, didapati adik beradik itu dalam keadaan telanjang berada di atas katil. Di atas kerusi sebelah mereka, terdapat tukul yang berlumuran darah.
Adik-beradik Papin mengaku membunuh majikan mereka lalu ditahan. Keduanya amat berang apabila polis memisahkan mereka berdua. Christine amat tertekan kerana terpisah daripada adiknya.
Teori Di Sebalik Keganasan Papin
Pemeriksaan psikologi dijalankan terhadap adik-beradik Papin untuk melihat tahap kewarasan mereka. Menurut laporan, ada ikatan yang sangat kuat antara kedua mereka.
Christine benci orang sekeliling dan merasa dia tiada ikatan dengan sesiapa kecuali Lea. Manakala Lea pula memandang tinggi terhadap Chistine sebagai seorang kakak dan juga ibu. Ada juga pendapat mengatakan ada kaitan seksual dalam konteks hubungan kedua beradik ini.
Setelah dibicarakan, Christine dan Lea didapati bersalah. Christine dijatuhi hukuman penjara seumur hidup manakala Lea penjara 10 tahun.
Apa yang menjadi tanda tanya dalam kes ini, mengapa adik-beradik itu membunuh majikan mereka dengan tragis? Jika ikut pendakwa raya, ia berpunca daripada pergaduhan kecil yang bertukar menjadi luar kawalan hingga menghilangkan kewarasan. - UTUSAN TV
|