MANA tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi.
Demikianlah peribahasa yang sesuai menggambarkan kejayaan Siti Aafiyah Mohd Khalid yang merupakan anak perempuan penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza.
Siapa sangka, alunan muzik piano yang dimainkan oleh anak sulung kepada biduanita negara itu dalam EuroAsia Youth Music Festival 2025 baru-baru ini berjaya memikat hati para juri.
Menerusi lagu berjudul The Elephant Herd yang sarat dengan rentak dinamik menyerupai hentakan kaki gajah, kakak kepada Muhammad Afwa itu berjaya mempamerkan kebolehannya sehingga melayakkannya meraih Gold Award.
Kejayaan itu turut membuka laluan buat Aafiyah untuk mara ke pusingan akhir yang dijadual berlangsung pada Jun depan.
Menerusi hantaran Instagram, Siti Nurhaliza atau mesra disapa TokTi meluahkan rasa syukur kepada puteri kesayangannya atas pencapaian terbesar pada seawal usia tujuh tahun.
"Baru-baru ini, Aafiyah telah menyertai 2025 EuroAsia Youth Music Festival di Sunway University untuk pusingan Kuala Lumpur Preliminary Round.
"Aafiyah berjaya meraih Gold Award dan melayakkan diri ke pusingan Final pada bulan Jun nanti," tulisnya.
Tokti berkata video berdurasi lebih satu minit itu merupakan kenangan yang sempat diabdikan oleh ibu kepada dua cahaya mata buat rakyat Malaysia.
Walaupun Aafiyah dikatakan mewarisi bakat ibunya, pelantun lagu Cindai itu mengakui berdebar ketika anak kesayangannya itu menjejakkan kaki di atas pentas bagi memulakan persembahan tersebut.
Bagaimanapun, Tokti tetap mempercayai kemampuan puterinya yang telah dibimbing oleh guru yang tidak pernah jemu melatih bakat Aafiyah.
"Ini adalah momen yang sempat ibu abadikan buat semua.
"Berdebar juga ibu ketika Aafiyah hendak memulakan persembahan, tetapi ibu percaya Aafiyah boleh lakukannya. Terima kasih Teacher Illy kerana tidak pernah jemu melatih Aafiyah," luahnya.
Menjengah ke ruangan komen, kelihatan rakan-rakan artis dan warganet tidak ketinggalan menitipkan ucapan tahniah dan kata-kata semangat buat Aafiyah.
"Semoga berjaya macam ibu dia," komen shieraijoy.
"Keturunan hebat. Muncul dah Siti Nurhaliza 2.0," komen jufazlishiahmad_8888.
Sekadar info, Siti sah bergelar isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa pada 21 Ogos 2006.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan cahaya mata sulung, Siti Aafiyah pada Mac 2018, diikuti kelahiran anak kedua, Muhammad Afwa pada April 2021 dan kedua-duanya melalui kaedah rawatan persenyawaan tabung uji (IVF).
|