Edited by tatod at 30-4-2025 05:20 PM
SEORANG usahawan yang juga pempengaruh media sosial dikompaun selepas dikesan menjual piza wagyu tanpa lesen menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah, Toyota Vellfire, di Ampang, Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam satu hantaran di Facebook, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berkata, tindakan itu diambil berikutan aktiviti penjualan tanpa lesen itu mengakibatkan gangguan awam.
Katanya, satu kompaun dikeluarkan mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil MPAJ 2007 bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk terjamin.
"MPAJ sentiasa menyokong inisiatif pembangunan usahawan tempatan sebagai pemacu ekonomi komuniti.
"Namun demikian, kami amat berharap agar semua pihak dapat mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan demi menjaga keharmonian bersama, " ujar hantaran itu.
Sementara itu, MPAJ berkata, satu sesi pertemuan turut diatur dengan pihak berkaitan bagi membincangkan jalan penyelesaian terbaik agar kegiatan menjaja tanpa lesen tidak berulang.
MPAJ dalam hantaran sama turut melahirkan iltizamnya untuk terus memperkukuh kerjasama dengan seluruh komuniti dalam usaha membina sebuah persekitaran lebih selamat, teratur dan sejahtera untuk semua. — Majoriti
|