Kuala Berang: Mekar hanya dalam tempoh dua hingga tiga hari dan sukar ditemui menjadikan bunga Rafflesia sebagai satu tarikan yang boleh diketengahkan sebagai produk pelancongan di negeri ini.
Ishak Samad, 41, dari perkampungan Orang Asli Sungai Berua dekat sini berkata, bunga berkenaan mengambil masa sembilan bulan untuk mekar sepenuhnya.
Menurutnya, namun tempoh bunga berkenaan mekar cuma dua ke tiga hari sahaja sebelum bunga berkenaan mati dan akan mengambil tempoh sama pada tahun berikutnya untuk kembali mekar.
Katanya, penemuan bunga pakma atau dikenali sebagai Rafflesia di hutan sekitar kawasan ini menjadi daya tarikan baharu kepada pencinta flora di negeri itu.
"Bunga-bunga ini berada di kawasan Sungai Chomor, yang terletak berhampiran perkampungan kami dan ia boleh dijadikan sebagai produk pelancongan bermusim.
"Bunga ini hidup di kawasan tanah lembap dan dinaungi pokok-pokok besar yang mewujudkan suasana seperti cuaca mendung," katanya.
Menurutnya, kewujudan bunga Rafflesia, di kawasan yang mudah diakses membolehkan orang ramai datang ke kawasan ini untuk melihat sendiri bunga berkenaan sebelum atau ketika bunga itu sedang mekar.
Katanya, ia merupakan satu tarikan walaupun hanya mekar dalam tempoh yang singkat kerana sebelum ini bunga itu sukar ditemui di pinggir-pinggir hutan.
Ishak berkata, sekarang adalah musim bunga berkenaan mekar dan di kawasan Sungai Chomor, ini terdapat kira-kira tujuh kuntum bunga berkenaan sama ada yang sudah mekar atau melalui proses mekar.
"Walaupun, untuk ke lokasi bunga berkenaan perlu melalui jalan hutan namun ada sesetengah individu dan kumpulan sanggup datang untuk melihatnya.
"Mungkin ia sukar untuk dilihat di persekitaran biasa mendorong pencinta flora, hadir untuk melihat bunga berkenaan di kawasan ini," katanya.
Menurutnya, tempoh singkat dua ke tiga hari akan dimanfaatkan sebaik mungkin bukan hanya bagi orang luar malah masyarakat Orang Asli sendiri pun tidak ketinggalan untuk melihat bunga berkenaan mekar.-HARIAN METRO
|