TANGKAK: Dua budak lelaki berusia 12 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah kereta di Kilometer 38, Jalan Muar-Segamat berhampiran pekan Sagil, di sini, petang tadi.
Kemalangan dipercayai berlaku jam 2.30 petang menyebabkan kedua-dua mangsa parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa yang juga penunggang dan pembonceng motosikal dari arah Tangkak.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal dinaiki mereka tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
"Akibatnya, motosikal itu bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah Segamat. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya dalam kenyataan.
Roslan berkata, polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, orang ramai mempunyai maklumat berkaitan kes kemalangan ini agar menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khairul Azmi Ibrahim di talian 011-12445836 bagi membantu siasatan. - BH ONLINE
|