New York: Penyanyi terkenal, Taylor Swift hilang gelaran bilionair wanita termuda di dunia atas usaha sendiri, kepada Lucy Guo, menurut Forbes.
Untuk rekod, bilionair atas usaha sendiri bermaksud, individu yang mencapai status itu melalui usaha dan kerja keras mereka sendiri, selalunya bermula dengan sumber yang terhad atau tanpa kekayaan keluarga.
NDTV World melaporkan Taylor Swift memegang gelaran wanita jutawan termuda yang membina kekayaan sendiri pada 2023.
Namun, dua tahun kemudian, gelaran itu diambil alih oleh Lucy Guo, pengasas bersama syarikat Kecerdasan Buatan (AI), yang kini berusia 30 tahun, menurut Forbes.
Guo, yang tidak menamatkan pengajian dalam jurusan Sains Komputer adalah salah seorang daripada hanya enam bilionair wanita yang membina kekayaan sendiri di bawah usia 40 tahun di seluruh dunia.
Pada 2018, beliau tersenarai dalam Forbes 30 Under 30. Kini, nilai kekayaan bersihnya dianggarkan sebanyak AS$1.3 bilion (RM5.68 bilion).
Beliau menubuhkan Scale AI pada 2016 ketika berusia 21 tahun bersama Alexandr Wang yang ketika itu baru berusia 19 tahun.
Wang menjadi CEO, manakala Guo mengendalikan operasi dan pasukan reka bentuk produk di syarikat permulaan di San Francisco itu.
Namun pada tahun sama, mereka berselisih pendapat mengenai pengurusan syarikat, dan menurut laporan, Wang memecat Guo.
Walaupun begitu, Guo mengekalkan sebahagian besar pegangan sahamnya dalam Scale AI sambil memulakan perniagaan baharu.
Forbes menganggarkan beliau masih memiliki kira-kira lima peratus pegangan dalam Scale AI yang kini bernilai hampir AS$1.2 billion (RM5.25 billion) selain memiliki pegangan dalam syarikat keduanya, Passes.
"Saya tidak terlalu memikirkannya, memang agak gila. Sayangnya semua hanya atas kertas," kata Guo kepada Forbes.
Kini, beliau bukan sahaja salah seorang daripada enam bilionair wanita bawah 40 tahun yang membina kekayaan sendiri, malah satu-satunya individu yang mengumpul kekayaan utamanya daripada syarikat yang ditinggalkannya bertahun-tahun lalu. - HARIAN METRO
|