Edited by tatod at 27-4-2025 08:54 PM
JOHOR BAHRU: Polis menahan bekas suami pempengaruh yang dikatakan terbabit kes penipuan jemaah umrah.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kenyataan media akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
"Polis mengesahkan menahan bekas suami 'influencer' untuk siasatan. PS (kenyataan media) menyusul," jawabnya ringkas.
Beberapa hari lalu, tular di media sosial bekas suami pempengaruh ditahan pihak polis.
Turut tular perbualan WhatsApp pempengaruh dengan seorang individu dipercayai kakak kepada bekas suaminya itu yang mengesahkan lelaki itu ditahan polis di Johor Bahru.
Berita penahanan itu tular sejurus selepas berita pernikahan pempengaruh dengan seorang jejaka warga asing dilaporkan. - BH ONLINE
Tipu pakej pelancongan Korea Selatan, 8 kertas siasatan dibuka
JOHOR BAHRU: Sebanyak lapan kertas siasatan dibuka terhadap kes penipuan membabitkan pempengaruh yang menawarkan pakej pelancongan ke Korea Selatan melalui promosi di TikTok.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata kertas siasatan itu membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, IPD Kota Tinggi, IPD Seri Alam, IPD Iskandar Puteri, IPD Muar dan IPD Kluang.
"Kertas siasatan terhadap suspek akan dikemukakan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk nasihat selanjutnya.
"Kes disiasat di bawah kesalahan tipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Kumar mengesahkan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang juga bekas suami kepada pempengaruh.
Menurut beliau, suspek adalah pemilik kepada akaun syarikat Cikgu Kimchi Trading yang digunakan untuk menerima pembayaran daripada mangsa yang terpedaya dengan tawaran untuk melancong ke Korea.
"Tangkapan pertama terhadap suspek dibuat pada 21 April lalu dan kini masih lagi dalam tahanan Polis Johor untuk siasatan lanjut.
"Selain Kontinjen Johor, siasatan juga mendapati suspek terbabit dengan modus operandi kes yang sama di lain-lain kontinjen. Siasatan kes masih diteruskan," katanya.
|