Hukuman gantung bukan sesuatu yang baru dalam sistem undang-undang manusia sejak zaman dahulu. Tetapi, pernahkah anda mendengar haiwan yang dijatuhi hukuman gantung?
Mary, seekor gajah betina yang dihukum mati dengan cara digantung pada tahun 1916. Kisah Mary dianggap sebagai salah satu peristiwa paling tragis dan menggemparkan dalam sejarah sarkas di Eropah dan perlakuan manusia terhadap haiwan.
Mary adalah seekor gajah yang berasal dari India. Haiwan ini dibawa ke Amerika untuk digunakan dalam pertunjukan sarkas yang popular pada zaman itu.
Mary dibawa berkelana, bekerja di serata tempat. Mary bukan sekadar gajah biasa. Mary memiliki bakat luar biasa yang membuatnya menonjol di kalangan rakan-rakan gajahnya dalam sarkas. Salah satu kemahirannya adalah memainkan pelbagai lagu menggunakan trompet dengan meniupnya dengan belalainya.
Pada 12 September 1916, Mary terlibat dalam pertunjukan yang berlangsung di Kingsport, Tennessee. Persembahan dikendalikan oleh jurulatih gajah bernama Walter Eldrige.
Sebenarnya, Eldrige bukanlah seorang pelatih yang berpengalaman terutamanya untuk menguruskan gajah. Namun, kerana kekurangan pelatih gajah yang berpengalaman, syarikat sarkas itu terpaksa mengambil Eldrige bekerja.
Eldrige sekadar diajar untuk menggunakan tongkat gajah (seakan tombak yang tajam di hujungnya) untuk menjinakkan atau menakutkan gajah agar mengikuti arahannya.
Ketika persembahan berlangsung, Mary tiba-tiba berhenti apabila ternampak sebiji buah tembikai yang digunakan dalam pertunjukan. Mungkin kerana lapar dan keletihan, Mary mengabaikan arahan dan tunduk bagi mengambil tembikai tersebut untuk dimakan.
Melihat Mary tidak mengikut arahannya, Eldridge telah mencangkuk bahagian telinga Mary dengan tongkatnya dan cuba menariknya ke belakang dengan harapan gajah itu akan menurut arahannya semula.
Sebaliknya, kerana rasa sakit dilakukan begitu, Mary spontan membelit Eldridge dengan belalainya sebelum melemparkan lelaki itu, kemudian bertindak memijak kepala Eldridge sehingga pelatih itu mati di situ juga.
Kejadian itu menyebabkan suasana di situ mulai kelam kabut dengan penonon menjerit dan berlari keluar ketakutan. Pekerja sarkas dan sebahagian penduduk bandar yang berada di situ menjerit ke arah Mary sambil berkata, “Bunuh gajah itu!”
Hukum Gantung
Kematian Eldridge membawa kepada campur tangan pihak berkuasa tempatan dan pemilik sarkas, Charlie Sparks yang sepakat memutuskan untuk menghukum Mary.
Lebih kejam, mereka memutuskan untuk menggantung Mary sampai mati sebagai hukuman atas kesalahan gajah itu yang telah membunuh manusia, tanpa menyangka keputusan itu akan memberi impak yang besar.
Bagi mereka, hukuman itu salah satu cara untuk membersihkan semula imej sarkas yang dicemari insiden tersebut. Hukuman pula dilakukan di hadapan umum, dan juga disaksikan oleh gajah-gajah lain di sarkas itu kononnya supaya memberi pengajaran kepada haiwan tersebut agar tidak melakukan kesalahan seperti Mary.
Sehari selepas kematian Eldrifge, pada 13 September 1916, Mary dihukum gantung. Mary bersama gajah-gajah lain dibawa dengan kereta api ke Unicoi Country, Tennessee.
Di kawasan kereta api itu disaksikan lebih 2,500 penonton, Mary digantung dengan menggunakan kren industri yang dipasang pada kereta api. Rantai besi yang menjadi tali gantung dipasangkan pada leher Mary.
Selepas arahan diberi, kren dinaikkan perlahan-lahan untuk mengangkat Mary ke udara. Namun, sewaktu Mary sudah terangkat setinggi lima kaki, rantai yang menjerut lehernya putus. Mary jatuh semula ke tanah dan ketika itu ia hanya terbaring nyawa-nyawa ikan menahan kesakitan.
Sekali lagi rantai baru diikat ke leher Mary dan kren mengangkat semula gajah itu ke udara, lebih tinggi daripada cubaan pertama. Kedengaran raungan kesakitan gajah malang itu yang terkapai-kapai di udara sehingga akhirnya Mary terkulai layu, tidak lagi bernyawa.
Walau sudah mati, Mary masih dibiarkan tergantung selama setengah jam dan hanya diturunkan setelah doktor haiwan mengesahkan kematiannya. Berakhirlah riwayat hidup Mary angkara perbuatan manusia.
Kejadian ini mendapat perhatian meluas dan menimbulkan kemarahan ramai orang. Para aktivis haiwan bersuara dan mempertahankan Mary tidak sepatutnya dihukum dengan cara sekejam itu.
Insiden itu juga membangkitkan kesedaran orang ramai terhadap kekejaman haiwan dalam industri sarkas, selain memberi impak dalam perkembangan gerakan hak haiwan di Amerika Syarikat.
Ia juga membawa banyak perubahan dalam undang-undang yang bertujuan untuk melindungi haiwan. Misalnya, beberapa negeri dan bandar di Amerika mula memperkenalkan peraturan yang mengharamkan penggunaan haiwan tertentu dalam sarkas dan pertunjukan seumpamanya.
Insiden Mary turut menyumbang kepada penurunan populariti sarkas. Walaupun tidak serta-merta, masyarakat semakin mempersoalkan penggunaan haiwan dalam sarkas dan mula mencari alternatif hiburan lain yang lebih berperikemanusiaan. Pada tahun 1970-an, semakin banyak kumpulan sarkas mengambil langkah untuk mengurangkan atau menghapuskan penggunaan haiwan dalam pertunjukan mereka.
Kisah ini dianggap sebagai salah satu peristiwa tragis dalam sejarah haiwan yang digunakan untuk hiburan manusia. Ia juga membongkar sisi gelap kekejaman yang berlaku dalam industri sarkas ketika itu.
|