Polis sita 30 motosikal dalam Ops Samseng Jalanan
MOHD ISKANDAR OTHMAN
23 Mac 2025 05:26pm

Anggota trafik memeriksa salah sebuah motosikal yang ditahan.
BUKIT MERTAJAM - Polis menyita 30 motosikal dalam Ops Samseng Jalanan di Kilometer 131 hingga 135 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini pada awal pagi Ahad.
Operasi dijalankan sepasukan polis dari Peronda Lebuh Raya (EMPV) Zon Utara bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, operasi yang bermula kira-kira jam 10 malam Sabtu dan berakhir 7 pagi Ahad mendapat kerjasama daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
*Menerusi operasi terbabit, sebanyak 200 motosikal telah diperiksa.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 30 motosikal disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Helmi berkata, dalam operasi berkenaan pihaknya juga mengeluarkan sebanyak 90 keping saman atas pelbagai kesalahan trafik.
Katanya, pihak JAS juga menguji bising kenderaan dan mengeluarkan empat kompaun.
Tambahnya, lima individu turut ditahan AADK selepas didapati positif dadah.
https://www.sinarharian.com.my/article/719266/berita/semasa/polis-sita-30-motosikal-dalam-ops-samseng-jalanan
|