Setiu: Penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kampus Gong Badak ditemukan lemas selepas mandi-manda bersama tujuh rakan di Hutan Lipur Lata Changkah, Permaisuri, hari ini.
Seorang rakannya, Muhammad Hady Izzudyn Ikmal Hisam, 23, berkata, mereka ke kawasan rekreasi itu untuk berkelah sempena cuti umum dan ketika kejadian, mangsa, Wan Ahmad Irfan Wan Abdullah Thani, 24, sedang mandi bersama lima rakan di tengah sungai.
"Sebelum kejadian saya dan enam rakan (termasuk mangsa) mandi bersama, manakala seorang lagi rakan mandi di tempat berbeza.
"Saya kemudian naik ke tebing dan ketika itu melihat Irfan bersama lima rakan mandi di tengah sungai tiba-tiba kelihatan tenggelam timbul.
"Saya terus terjun untuk menyelamatkan mereka dan berjaya menolak empat orang ke darat sebelum menyedari Irfan hilang. Seorang lagi rakan pula diselamatkan orang ramai," katanya ketika ditemui.
Menurutnya, difahamkan Wan Ahmad Irfan dan lima rakannya tidak pandai berenang tetapi mereka sudah beberapa kali berkunjung ke lata itu.
"Saya sendiri tidak sangka kedatangan kami ke sini, hari ini berakhir dengan tragedi," katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Zuraidi Mohd Yusuf memaklumkan menerima panggilan kejadian pada 3.42 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa ditemukan terdampar di dasar sungai pada kedalaman 4.5 meter selepas anggota melakukan selaman.
Katanya, lima rakan mangsa yang hampir lemas dihantar ke Hospital Setiu untuk menerima rawatan.
"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya. - HARIAN METRO
|