MEMULAKAN kerjaya menerusi program realiti televisyen, penyanyi Idayu tidak pernah merasa serik untuk kembali menyertai mana-mana pertandingan nyanyian.
Bagi Idayu atau Nur Farah Idayu Yaakob, 40, dia suka menyahut cabaran bagi menguji tahap kemampuan dirinya sebagai seorang penyanyi.
Malah, dia mengakui ada menyimpan hasrat besar untuk menyertai program Gegar Vaganza (GV).
"Saya sukakan pertandingan. Selagi ada peluang saya akn mencuba nasib. Saya mahu tahu tahap diri sendiri. Adakah masih mampu menyanyi seperti zaman muda dahulu.
"GV adalah antara yang paling saya mahu sertai. Ramai kata susah, tetapi itu yang saya mahukan. Saya sukakan cabaran.
"Jika produksi GV panggil, saya akan terima. Tahun lalu ada pergi uji bakat, tetapi tiada rezeki," katanya kepada mStar.
Idayu ditemui ketika majlis sidang media An Evening To Remember With Ayu, Idayu & Alyah yang berlangsung di Putrajaya pada Khamis.
Menurut penyanyi ini lagi dia juga turut akan menghadiri sesi uji bakat program X Factor Indonesia.
Dia sebelum ini pernah menyertai Akademi Fantasi musim ketiga (AF3) selain AF Megastar pada tahun 2017 dan bergelar juara.
Idayu juga pernah menghadiri uji bakat program One In A Million (OIAM) namun nasib tidak menyebelahinya.
Bairpun begitu, dia menganggap ia merupakan satu perkembangan positif apabila ramai dalam kalangan peminat menilai kemampuan bakatnya.
"Saya tidak kisah pun apabila gagal masuk. Tetapi komen-komen netizen di media sosial itu lebih penting. Itu bermakna mereka mahukan saya. Orang nampak dan terima bakat saya," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Idayu, Ayu Damit serta Datin Alyah bakal bergabung di atas satu pentas sama sempena persembahan khas mereka yang dijadulkan berlangsung pada 21 dan 22 Jun akan datang di Hotel Park Inn by Radisson, Putrajaya.
Gabungan ini juga dianggap sebagai kemunculan semula buat Idayu untuk terus memperkukuhkan kerjaya seni.
"Selama ini saya banyak terlibat dalam persembahan makan malam sehigga ada yang anggap saya tidak aktif dalam dunia seni.
"Mungkin ini adalah comeback buat saya. kami bertiga juga akan bergerak sebagai satu jenama untuk persembahan akan datang," jelasnya. - mStar
|