Edited by sfhzuraz at 11-5-2025 06:53 PM
Gempa bumi landa Sumatera, Pulau Pinang turut rasai gegaran
SYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
11 Mei 2025 05:47pm

Gempa bumi berpusat di perairan utara Sumatera pada kedalaman 74 kilometer kira-kira jam 4.57 petang.
GEORGE TOWN – Beberapa kawasan di seluruh Pulau Pinang dilaporkan mengalami gegaran selama beberapa saat pada petang Ahad susulan kejadian gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang berlaku di utara Sumatera, Indonesia.
Antara lokasi yang dilaporkan merasai gegaran tersebut termasuk kawasan di tanah besar seperti Nibong Tebal, Bukit Mertajam, Bukit Minyak, Bertam, Penaga, Seberang Jaya, Perda dan Butterworth.
Sementara itu, di bahagian pulau, gegaran turut dirasai di Bayan Baru, Air Itam, Farlim, Batu Lanchang, Batu Maung, Sungai Pinang, Jalan Utama, Tanjung Tokong dan Balik Pulau.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di Facebook, gempa bumi berpusat di perairan utara Sumatera pada kedalaman 74 kilometer, kira-kira jam 4.57 petang.
“Tiada ancaman tsunami dikeluarkan kepada Malaysia, namun gegaran kecil boleh dirasai di beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
"Jarak gempa adalah 107 kilometer tenggara dari Meulaboh, Indonesia. MetMalaysia akan terus memantau keadaan ini,” menurut kenyataan tersebut.
Seorang penduduk di Farlim, Nurul Amira Abdul Rahim, 40, berkata beliau berasa pening ketika sedang menyediakan makanan untuk kedua-dua anaknya.
“Saya berada di dapur, sedang menyediakan makanan untuk anak-anak. Saya ingatkan saya pening sebab terasa seperti bergoyang.
“Gelas pun ada bergerak-gerak tetapi tidak lama, hanya sekitar lima saat. Bila saya baca di Facebook, rupa-rupanya ada gegaran,” katanya.
Seorang lagi penduduk di Tanjung Tokong, M. Aigini, 43, berkata beliau turut merasakan gegaran ringan ketika sedang menonton televisyen.
“Saya ingatkan pening kepala, tapi apabila suami saya pun rasa perkara yang sama, kami merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
“Bagaimanapun, gegaran itu tidak lama, sekitar seminit lebih sahaja. Kami tidak keluar rumah kerana kejadian itu berlaku sekejap sahaja,” katanya.
Setakat ini, tiada sebarang laporan kerosakan atau kecederaan diterima daripada pihak berkuasa.
Bomba terima dua panggilan kecemasan
GEORGE TOWN - Beberapa bangunan di sekitar Pulau Pinang dilaporkan mengalami gegaran susulan kejadian gempa bumi yang berlaku di utara Sumatera, Indonesia petang Ahad.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima dua panggilan berhubung gegaran yang dirasai iaitu di Blok 1, Taman Selatan, Jelutong dan Hotel City Bayview di sini kira-kira jam 5.15 petang.
Menurutnya, gegaran berkenaan dipercayai berpunca daripada gempa bumi dengan kekuatan sederhana yang berlaku di negara jiran itu.
“Gempa bumi tersebut berlaku pada jam 4.57 petang waktu tempatan dengan kedalaman 74 kilometer, berpusat di koordinat 3.6853°U dan 96.974°T di Utara Sumatera, Indonesia.
“Sejurus menerima maklumat, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak dan BBP Lebuh Pantai digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan dan pemeriksaan keselamatan bangunan,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Tambah beliau, setakat ini tiada kerosakan struktur bangunan dilaporkan dan situasi adalah terkawal.
“Pasukan kami terus memantau keadaan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Orang awam dinasihatkan agar sentiasa peka dengan sebarang arahan pihak berkuasa dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih bagi mengelakkan panik dalam kalangan masyarakat.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di Facebook, gempa bumi berpusat di perairan utara Sumatera pada kedalaman 74 kilometer kira-kira jam 4.57 petang.
MetMalaysia berkata, tiada ancaman tsunami dikeluarkan kepada Malaysia, namun gegaran kecil boleh dirasai di beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Akibat daripada kejadian itu, beberapa kawasan di seluruh Pulau Pinang dilaporkan mengalami gegaran selama beberapa saat.
Antara lokasi yang dilaporkan merasai gegaran adalah Nibong Tebal, Bukit Mertajam, Bukit Minyak, Bertam, Penaga, Seberang Jaya, Perda, Butterworth, Bayan Baru, Air Itam, Farlim dan Batu Maung.
https://www.sinarharian.com.my/article/727889/berita/nasional/gempa-bumi-landa-sumatera-pulau-pinang-turut-rasai-gegaran
|