Gerik: Kejadian gajah mengamuk hingga merosakkan kenderaan pengguna jalan raya dekat Sungai Lebey berhampiran Tugu Peringatan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini, malam tadi, dikatakan berlaku apabila mangsa kejadian itu mendakwa kenderaan lain membunyikan hon.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, aduan kejadian serangan gajah jam 8.15 malam tadi di KM 11 JRTB Gerik-Jeli itu, diterima pihaknya jam 11.36 malam tadi, daripada seorang lelaki berusia 39 tahun.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, mangsa yang memandu Toyota Vios ketika kejadian memberhentikan kenderaannya apabila mendapati sekumpulan gajah melintas di atas jalan raya, sebelum hon dibunyikan oleh kenderaan lain berada di belakang keretanya.
Beliau berkata, pemandu kereta itu bagaimanapun tidak cedera kerana sempat menyelamatkan diri apabila bertindak keluar dari kereta untuk menuju lokasi selamat.
"Pengadu (mangsa) bertindak memberhentikan kereta dan mematikan lampu, serta terdengar bunyi hon kenderaan dari arah belakang sebelum tiga gajah tiba-tiba menghampiri kereta.
"Pemandu dalam keadaan panik kemudiannya bertindak keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri. Sesudah kawanan gajah terbabit beredar, pengadu hadir ke balai polis untuk membuat aduan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, akibat serangan hidupan liar itu, kereta pengadu mengalami kerosakan pada bahagian hadapan dan belakang, selain pada sisi kanan dan kiri kenderaan itu.
Menurutnya, pemandu kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Zulkifli dalam pada itu menasihati pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan mematuhi nasihat pihak berkuasa, antaranya tidak membunyikan hon atau menggunakan lampu tinggi serta mengambil langkah-langkah keselamatan yang lain apabila berhadapan dengan gajah. - HARIAN METRO
|