TIDAK ada bakal pengantin yang mahu membatalkan hari bahagia mereka, namun kadangkala keputusan sukar itulah yang paling tepat dibuat demi kebaikan diri sendiri.
Seorang wanita bernama Ain (bukan nama sebenar) mengambil keputusan membatalkan perkahwinan yang sepatutnya berlangsung tidak lama lagi.
Menurut Ain, persiapan mengadakan majlis hampir siap 80 peratus ketika dia membuat keputusan itu, namun dia sudah lama membuat pertimbangan sebelum nekad membatalkan pernikahan.
"Sebenarnya, keputusan untuk tak teruskan perkahwinan tu bukan mudah. Saya dah fikir banyak kali. Tapi akhirnya saya sedar, saya tak boleh terus bertahan dalam hubungan.
"Dia mungkin belum bersedia dari segi tanggungjawab bukan saja sebagai pasangan tapi juga sebagai anak, bakal suami dan ketua keluarga.
"Tapi saya percaya semua wanita kena ambil serius bab ni,” katanya kepada mStar ketika dihubungi.
Tambahnya lagi, dia dapat melihat banyak tanda awal menunjukkan mereka tidak sesuai hidup bersama, khususnya dari segi interaksi pasangan dengan orang sekeliling.
"Jangan sesekali paksa diri untuk terus berada dalam hubungan yang dirasakan toksik atau abusive. Sebab lama-lama, ia akan makan diri kita dari segi mental dan fizikal.
"Percayalah, jaga diri sendiri dan sayang diri itu paling utama,” katanya sebak, namun akur dengan takdir bahawa jodohnya belum tiba.
Susulan keputusan membatalkan pernikahan, Ain berkata dia terpaksa melepaskan beberapa barangan perkahwinan yang telah dibeli lebih awal.
Antara barangan yang sudah dijual termasuklah sepasang baju nikah yang ditempah di sebuah butik di Shah Alam, Selangor.
Baju tersebut dibeli pada harga RM265 tetapi berjaya dijual semula pada harga RM200, sebagaimana diiklankan dalam hantaran di TikTok.
"Baju nikah tu dah pun terjual. Saya tak sangka cepat juga orang beli sebab saya memang jaga elok-elok, masih baharu dan cantik.
"Sekarang ni kasut nikah dan net tudung masih ada. Kasut tu saya beli harga RM210 dan saya letak harga RM150 saja.
“Banyak lagi barang sebenarnya tapi buat masa ni saya nak 'let go' (jual) barang-barang yang utama dulu. Segala beg goodies dan bunga telur saya hold dulu,” jelasnya.
Ain berkata keputusan untuk membatalkan majlis dibuat kira-kira sebulan sebelum tarikh yang ditetapkan dan perkara itu turut disokong sepenuhnya oleh keluarga.
“Kami kenal dari tadika, tapi saya tak nak cerita lebih-lebih. Sebulan sebelum majlis, saya buat keputusan untuk tak teruskan rancangan perkahwinan.
“Famili saya pun sebenarnya dah lama rasa nak batalkan, cuma masa tu saya masih cuba bagi peluang. Tapi akhirnya saya sendiri tak boleh lagi bertahan.
"Reaksi bekas pasangan? Dia okay je, buat macam tak ada apa-apa,” katanya yang kini berasa lebih tenang.
Bercerita lanjut, wanita ini berkata keluarganya terpaksa memaklumkan kepada saudara mara dan teman-teman bahawa majlis tersebut ditangguhkan.
Ketika ditanya tentang jumlah kerugian yang ditanggung gara-gara pembatalan tersebut, Ain enggan mengulas lanjut.
Baginya, apa yang lebih penting sekarang adalah fokus kepada diri sendiri dan usaha untuk memulihkan semula semangat selepas melalui fasa getir dalam hidup.
"Kad kahwin memang dah edar... jadi ibu ayah saya sendiri kena telefon balik semua tetamu dan cakap majlis ditangguh. Tapi sebenarnya, memang dah batal terus.
"Sedih memang sedih, tapi saya reda. Ini lebih baik daripada saya teruskan sesuatu yang tak pasti. Selepas kejadian tu saya tak kuat, 'hilang' diri.
"Tapi rezeki dekat lain pula. Allah 'panggil' saya untuk ke rumah Dia dan dapat tunaikan umrah. Saya cerita kesedihan dan menangis sepuas-puasnya dekat Raudah. Saya minta Allah pertemukan saya dengan jodoh baik dan diredai,” tambahnya lagi. - mStar
|