Malaysia pada 2024 telah melaporkan kerugian kewangan berjumlah RM1.6 bilion, kata Julaihi

Julaihi (tengah) menunjukkan isyarat 'bagus' selepas perasmian forum di sebuah hotel di Kuching hari ini. Turut kelihatan Eric (dua kiri) dan Syeed Mohd Hussien (dua kanan) serta yang lain. - Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Jenayah siber telah muncul sebagai ancaman global yang ketara dengan Malaysia pada 2024 telah melaporkan kerugian kewangan berjumlah RM1.6 bilion.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi turut berkata, jenayah siber turut memberi impak kewangan global sebanyak AS$8.5 trilion pada 2023 dan dijangka meningkat kepada AS$12.43 trilion menjelang 2027.
"Ini menyerlahkan bahawa tanpa kemajuan ketara dalam langkah keselamatan siber, kos jenayah siber boleh meningkat secara mendadak dan ia wajar dikekang," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Persidangan AI Generatif Berinovasi dan Bertanggungjawab Untuk Perkhidmatan Awam anjuran Amazon Web Services (AWS) di sebuah hotel di sini hari ini.
Sehubungan itu tambah Julaihi, Kerajaan Sarawak perlu menekankan keperluan mendesak untuk segera melabur dalam keselamatan siber yang teguh, meningkatkan kesedaran awam dan bekerjasama untuk memerangi landskap ancaman yang semakin berkembang ini.
"Kerajaan Sarawak telah mengambil pendekatan proaktif dan telah menubuhkan Unit Keselamatan Siber untuk menyediakan perkhidmatan dan bimbingan keselamatan siber kepada kerajaan, perniagaan dan rakyat merangkumi tadbir urus data, sistem dan aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi, tindak balas insiden, pemulihan bencana dan pematuhan.
"Tindakan lain ialah mengaudit dan memberi khidmat nasihat tentang landskap risiko keselamatan siber dan keberkesanan agensi, GLC dan keupayaan perniagaan untuk mengenal pasti, memantau dan mengurus risiko keselamatan siber," katanya.
Tambah Julaihi lagi, menurut kajian PricewaterhouseCoopers (PwC), menjelang 2030, kepintaran buatan (AI) dijangka meningkatkan ekonomi global dengan ketara dengan mampu menjana pendapatan sekitar AS$15.7 trilion kepada ekonomi global.
"Untuk menangani kepentingan AI yang semakin meningkat dalam memajukan agenda ekonomi, sosial dan alam sekitar, Kerajaan Sarawak turut menubuhkan Pusat Kepintaran Buatan Sarawak (SAIC) yang memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan, inovasi, penggunaan teknologi dan usaha tadbir urus AI serta pengetahuan mengenai AI," katanya.
"Semasa kita semakin berkembang maju dalam penerimaan evolusi AI... AI yang bertanggungjawab berdiri di barisan hadapan dalam usaha untuk menyelaraskan AI dengan nilai dan jangkaan masyarakat hari ini.
"AI yang bertanggungjawab ialah amalan membangun dan menggunakan sistem AI dengan cara memberi manfaat kepada masyarakat sambil meminimumkan risiko akibat kesan negatif teknologi itu.
"Kita harus memfokus membina sistem AI yang boleh dipercayai sekali gus boleh dipercayai, adil sejajar dengan nilai kemanusiaan hari ini," tegasnya.
"Di sebalik usaha menangani landskap digital yang semakin berkembang, kita sedang memperhalusi dasar dan alatan keselamatan untuk memastikan ia sejajar dengan piawaian terkini, mengukuhkan pertahanan serta memupuk budaya kesedaran siber yang proaktif di seluruh organisasi sama ada di kalangan kakitangan awam, swasta mahupun individu," tegasnya.
Hadir sama ke forum itu ialah Pengarah Urusan Wilayah AWS Eric Conrad dan Ketua Pegawai Eksekutif Centre For Technical Excellenge Sarawak (CENTEXS) Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman.
|