Usaha wanita Orang Ulu promosi tarian, budaya, keharmonian masyarakat mereka harus diberi pujian

Kijan menyampaikan cenderamata kepada Gerawat sambil disaksikan tetamu yang lain serta ahli-ahli jawatankuasa PWOUM pada majlis tersebut semalam.
MIRI: Usaha golongan wanita Orang Ulu dalam mempromosikan tarian dan budaya mereka serta keharmonian yang wujud dalam masyarakat mereka kepada dunia luar, adalah sesuatu yang harus diberi pujian, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala.
“Saya sentiasa mengagumi dan menghormati wanita kita (Orang Ulu) yang sangat bersemangat dan konsisten dalam mempromosikan tarian dan budaya Orang Ulu.
“Malah aktiviti yang sangat sihat ini amat menggalakkan perpaduan dan keharmonian masyarakat di Sarawak yang cukup terkenal dan ia adalah sesuatu yang ingin kita pelihara,” katanya.
Beliau memberitahu demikian pada majlis makan malam pra-Gawai anjuran Persatuan Wanita Orang Ulu Miri (PWOUM) di sebuah hotel di sini, semalam.
Majlis itu turut dihadiri ADUN Pujut merangkap Datuk Bandar Miri Adam Yii serta isteri Rita Yii, ADUN Telang Usan merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Dato Dennis Ngau dan isteri Datin Debbie Erang serta Pengerusi PWOUM Kijan Toynbee.
Mengulas lanjut, Gerawat memberitahu PWOUM telah berjaya menganjurkan pelbagai aktiviti dan program untuk wanita Orang Ulu di sini dan kejayaan mereka adalah kerana kepimpinan yang baik dan telus.
Katanya, Kijan selepas bersara sebagai Setiausaha Politik Ketua Menteri, tetap meneruskan penglibatan dalam aktiviti-aktiviti pembangunan masyarakat yang sihat dan inklusif seperti mengajar tarian-tarian tradisional dan kontemporari dan mempersembahkannya kepada umum.
“Ramai wanita yang minat dengan berbagai tarian sepeti yang mereka persembahkan malam ini.
"Ini satu cara kita berkenalan dengan banyak kawan dan mengerat sulaturahim dengan kenalan dan memupuk perpaduan antara kaum,” tambahnya.
Dalam ucapannya Gerawat memberitahu, pada tahun ini masyarakat Orang Ulu diberi penghormatan untuk menjadi pengerusi jawatankuasa kerja yang menganjurkan sambutan Hari Gawai Peringkat Negeri.
Katanya, sempena sambutan itu juga, empat program sempena Hari Gawai diadakan iaitu Karnival Gawai pada 12 dan 13 Mei, Perarakan Gawai pada 21 Mei dan pada 22 Mei pula acara kemuncak iaitu Majlis Makan Malam Gawai Peringkat Negeri Sarawak 2025 di BCCK, Kuching.
Gerawat seterusnya mengumumkan peruntukan RM15,000 kepada PWOUM manakala RM10,000 daripada Dennis dan Yii pula sebanyak RM5,000, sebagai sokongan kepada persatuan itu agar terus memperjuangkan warisan dan budaya Orang Ulu.
|