
RAMPAS: Rokok seludup yang dirampas di dalam kenderaan pacuan empat roda terbabit.
TAWAU: Cubaan menyeludup masuk ratusan ribu batang rokok tidak bercukai digagalkan apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya membuat rampasan dalam satu operasi di Jalan Bulatan Besar Kalabakan, di sini, Rabu lalu.
Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, operasi yang dijalankan menerusi Op Taring Alpha 1 pada jam 10.30 pagi itu berjaya merampas sebanyak 170,000 batang rokok dengan nilai dianggarkan RM252,450.
Katanya, pihaknya menahan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda yang dinaiki dua lelaki tempatan berusia 23 dan 26 tahun.
“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan sejumlah 170,000 batang rokok seludupyang disembunyikan di dalamnya.
“Kedua-dua individu ditahan dan kenderaan terbabit disita sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media di sini.
Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan yang digunakan dianggarkan RM312,450berdasarkan harga pasaran semasa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1958, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau penjara, jika disabitkan kesalahan.
“PGA Sabah akan terus mempertingkatkan kawalan di sempadan serta kawasan berisiko tinggi bagi mengekang kegiatan penyeludupan barangan tidak sah masuk ke negeri ini,” katanya.
|