
TAHAN: Suspek ditahan reman selama enam hari sehingga 1 Mei.
KOTA KINABALU: Seorang pegawai dari sebuah jabatan kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki menerima rasuah berjumlah kira-kira RM40,000daripada beberapa individu dan kontraktor yang terlibat dalam projek pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menurut sumber, suspek yang dipercayai mula menerima wang sogokan sejak 2022 hingga 2025 itu ditahan kira-kira jam 2 petang Khamis selepas hadir memberikan keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan.
“Suspek dipercayai menerima wang rasuah sebagai dorongan untuk memberikan projek pembinaan rumah berkenaan kepada pihak tertentu,” katanya.
Menurutnya, suspek juga ditahan reman selama enam hari sehingga 1 Mei selepas Hakim Zaini Fishirmembenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Sesyen Sandakan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
|