Edited by tatod at 7-5-2025 08:15 PM
SEORANG murid perempuan cedera apabila kakinya tertusuk pin pada lencana bendera negara yang terjatuh di atas lantai baru-baru ini.
Kejadian itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat terhadap aspek keselamatan pelajar terutama di sekolah rendah.
Menerusi gambar yang dikongsi Khairul Aqmal di media sosial, kanak-kanak itu dilihat dibawa ke klinik menaiki kerusi roda dengan pin masih tertusuk di tapak kakinya.
Rata-rata warganet ngeri melihat kecederaan tersebut, yang berpunca daripada objek kecil yang dianggap tidak berbahaya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai warganet menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan pin tajam sebagai lencana rasmi yang diwajibkan pemakaiannya di sekolah.
Seorang pengguna, Nur mempertikaikan perbelanjaan kerajaan bagi penghasilan lencana tersebut demi semangat patriotik.
“Dah boleh jangka benda macam ni berlaku. Tengok pin yang adik saya pakai pun saya dah risau.
"Hanya pembaziran, kerana risiko lebih banyak daripada manfaat," katanya.
Pandangan serupa dikongsi Rahah Ghazali yang menyifatkan insiden itu sebagai sesuatu yang boleh dijangka.
“Ramai dah risau dari awal. Sekarang betul-betul terjadi. Siapa sangka ini idea bijak? Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek perlu beri perhatian,” tulisnya.
Seorang ibu, Fenny Nini turut bimbang dengan perkara sedemikian.
“Ini memang perkara yang paling ditakuti oleh mak-mak. Kenapa pin tajam macam ni masih digunakan untuk anak-anak kecil?," katanya.
Malah, beberapa pengguna menyeru supaya pemakaian pin dihentikan serta-merta.
“Tarik balik arahan pakai pin ni. Tak berbaloi nak semangat patriotik sampai budak cedera,” tulis Anak Wantan.
Asmaqrazak pula menggesa Perdana Menteri supaya campur tangan dalam menangani isu itu.
“Pin jenis ni langsung tak sesuai untuk murid sekolah rendah. Anwar Ibrahim, tolong ambil tindakan," katanya. — Majoriti
|