Shah Alam: Penyanyi Datuk Nora Ariffin, 52, tetap bertegas dengan keputusannya untuk meneruskan tuntutan perceraian terhadap suaminya, Dr Rushdi Ramli, 59,menerusi pelantiikan Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Terdahulu, Nora hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini dengan ditemani kakak angkatnya, Rafeah Ariffin yang dilantik sebagai wakil JKP bagi pihaknya.
Nora ditemui ketika hadir di mahkamah pada jam 8.50 pagi berkata, dia tidak akan sesekali menarik tuntutan permohonan cerai yang dibuat terhadap suaminya sebelum ini.
"Pada sebutan kes hari ini untuk urusan JKP, saya melantik kakak angkat, Rafeah sebagai wakil di pihak saya sebab keputusan untuk bercerai akan diteruskan.
"Setakat ini, memang tak ada (nak tarik permohonan dibuat). Saya kekal dengan perancangan asal (untuk cerai). Tapi, apapun saya serahkan kepada pihak mahkamah," katanya kepada Harian Metro.
Kisah kemelut rumah tangga Nora dan Rushdi difahamkan menjadi topik hangat dalam media sosial dan menarik perhatian ramai sejak 12 Ogos, tahun lalu.
Ia berikutan hantaran dibuat Nora di akaun Instagram (IG) miliknya yang memaparkan video Rushdi melafazkan cerai terhadapnya, sekali gus mengejutkan pelbagai pihak.
Rentetan itu, pelbagai dakwaan dilemparkan sehingga mendorong Nora memfailkan tuntutan perceraian terhadap suaminya itu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 21 April lalu.
Sebelum itu, Nora mengesahkan dia sudah bergelar isteri kepada Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul di sebuah universiti pada akhir 2021.
Nora pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer, Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata. Bagaimanapun, arwah Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 kerana serangan jantung.
SUMBER: HARIAN METRO
|