Hati-hati beli emas di media sosial, elak ditipu - Cake
Oleh Zuliaty Zulkiffli
Gambar Zuliaty Zulkiffli
Alor Setar: Di sebalik keghairahan orang ramai membeli emas untuk simpanan, mereka dinasihatkan supaya berhati-hati bagi mengelakkan tertipu dengan membeli emas palsu terutama di media sosial.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, jualan emas di platform media sosial kini menjadi trend kerana masing-masing menawarkan harga istimewa untuk menarik minat pengguna.
Beliau berkata, pengguna perlu berhati-hati kerana pembelian di media sosial ini sangat mudah tetapi barangan kemas yang ditunjuk mungkin tidak sama dengan yang mereka akan dapat.
Katanya, banyak barangan kemas dijual sama ada di media sosial atau individu yang mendakwa ejen kedai emas namun dibimbangi emas berkenaan mungkin tiruan.
"Harga emas sekarang semakin meningkat dan orang ramai mengambil kesempatan membeli barangan kemas atau jongkong emas untuk simpanan mereka meskipun mahal.
"Namun dinasihatkan pengguna dapatkan pandangan mereka yang mahir sebelum membuat pembelian barang kemas di media sosial bagi memastikan ketulenannya.
"Bukan semua penjualan di media sosial itu tidak boleh, tetapi sebaiknya pergi terus ke kedai emas berkenaan untuk melihat sendiri barangan yang dijual kerana nilai emas kini sangat tinggi dan elak dari menjadi mangsa penipuan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohamad Yusrizal berkata, setakat ini hanya satu aduan diterima pihaknya di negeri ini berkaitan barang kemas yang dibeli pengguna mudah putus dan rosak.
Katanya, ia menimbulkan keraguan tahap ketulenan emas berkenaan dan diharap kejadian itu tidak akan berulang kembali.
Terdahulu akhbar ini menyiarkan orang ramai membeli emas untuk simpanan walaupun harganya semakin meningkat sekali gus menyebabkan ada kedai emas di negeri ini kehabisan stok.