Assan (dua dari kanan) dan Sheikh Abdul Rahman (kiri) bersama dua rakannya menyediakan bubur lambuk istimewa campuran 15 rempah di Masjid India Datuk Ahmad Awang sepanjang Ramadan setiap tahun. FOTO OMAR AHMAD
Johor Bahru: Empat tukang masak dari Pulau Pinang sanggup menetap di Johor selama sebulan sepanjang bulan Ramadan, untuk menyediakan juadah istimewa bubur lambuk Masjid India Datuk Ahmad Awang atau lebih dikenali Masjid India Jalan Duke di bandar raya ini.
Dalam sehari, hampir 500 bungkus bubur lambuk dimasak hasil 'air tangan' mereka, yang diketuai cef, Sheikh Abdul Rahman Mohd Halifah, 50, dan pembantu cef, Assan Basari, 45.
Mengakui tidak sabar menerima panggilan telefon daripada pihak pengurusan Masjid India setiap kali hampir tiba bulan Ramadan, Assan berkata, dia menyertai pasukan memasak itu sejak sembilan tahun lalu.
"Saya berasal Kampung Kolam, Georgetown, Penang memang mai (datang) setahun sekali selama sebulan untuk masak bubur lambuk di sini.
"Bubur ini rasanya berbeza, lebih istimewa penuh dengan rasa daging, di Penang tiada bubur lambuk seperti ini kerana kami hanya masak di sini, dan menetap di Johor sepanjang Ramadan.
"Masa di sini seronok, setiap tahun kita tunggu tiga bulan sebelum Ramadan untuk panggilan datang sini memasak bubur lambuk Masjid India.
"Walaupun hanya sebulan masak di sini, perasaan itu macam setahun duduk di sini. Orang ramai sayang kita insya-Allah kalau masih hidup tahun depan puasa datang lagi masak," katanya ketika ditemui di perkarangan Masjid India di sini.
Menurut Assan, proses memasak bermula 8 pagi dan berakhir 12 tengah hari.
Katanya, pada sebelah petang, menu berbuka disediakan dan ia berbeza setiap hari untuk umat Islam yang berbuka di masjid ini.
"Bubur akan diedarkan selepas Zuhur dan untuk berbuka di masjid.
"Ramai yang datang ambil bubur bukan sahaja kariah masjid, tetapi pelancong, peniaga, pekerja, warga asing dan gelandangan," katanya.
sumber : hmetro
|