iPhone 16 dilarang dijual secara komersial di Indonesia. Agensi
JAKARTA - Indonesia mengekalkan larangan penjualan iPhone 16 walaupun Apple berjanji melabur sebanyak AS$1 bilion (RM4.49 bilion) di negara itu.
Pada Oktober lalu, Indonesia melarang pemasaran dan penjualan model iPhone 16 kerana kegagalan Apple memenuhi peraturan pelaburan tempatan yang memerlukan 40 peratus telefon dibuat dari bahan dari negara itu.
Pada masa sama, Indonesia sedang berusaha meningkatkan pelaburan syarikat teknologi gergasi di negara itu.
Menteri Pelaburan, Rosan Roeslani memberitahu pemberita pada Selasa bahawa Apple berjanji untuk melabur AS$1 bilion bagi membina kilang AirTag di Pulau Batam, yang dijangka membekalkan 65 peratus daripada bekalan global.
Bagaimanapun, tidak dijelaskan lanjut mengenai perjanjian mengenai kilang yang bakal dibina di zon industri tersebut.
"AirTag ialah aksesori, bukan komponen atau sebahagian daripada gajet," kata Menteri Perindustrian, Agus Gumiwang Kartasasmita memberitahu taklimat akhbar pada hari Rabu, merujuk kepada peranti pengesan Apple.
Katanya, sehingga petang ini (Rabu), kementerian tidak mempunyai sebarang sebab untuk mengeluarkan sijil peringkat komponen domestik bagi produk Apple khususnya iPhone 16.
Agus bertemu dengan wakil Apple pada hari Selasa, tetapi beliau berkata perjanjian belum dimuktamadkan.
“Jika Apple ingin menjual iPhone 16 secepat mungkin, keputusan berada di tangan mereka, sila balas cadangan balas kami dengan segera,” katanya.
Apple sebelum ini menawarkan untuk meningkatkan pelaburannya di Indonesia sebanyak $100 juta (RM448 juta) untuk menarik balik larangan jualan iPhone 16, tetapi kerajaan Indonesia menolak cadangan itu pada November.
|