
Abdul Karim ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Konsert Konsert Nidji – Pelangi di Kuching 2025 yang diadakan di Stadium Perpaduan di Kuching, malam tadi.
KUCHING: Usaha menaik taraf beberapa kawasan berpotensi besar sebagai destinasi eko-pelancongan, seperti Hutan Simpan Sabal, Gunung Gading, dan Tanjung Datu, dijangka dapat menarik lebih ramai pelancong ke Sarawak.
Demikian kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah sambil menambah bahawa setiap kawasan tersebut memiliki khazanah alam semula jadi yang unik.
“Jadi sebab itulah kalau dinaik taraf tempat-tempat seperti Sabal, Gunung Gading dan juga di Tanjung Dato saja infrastrukturnya perlu diatur, chalet-chalet dan di situlah akan menarik minat mereka untuk berkunjung ke Sarawak.
"Lagipun, memang salah satu daripada tarikan eko-pelancongan di Sarawak adalah Taman Semulajadi dan juga Taman Negara.
“Kita dapat melihat mereka (pelancong) yang datang ke Sarawak jarang ketinggalan untuk ke tempat perlindungan Orang Utan, Taman Negara Bako dan sebagainya serta di situlah akan menarik minat untuk berkunjung ke Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pemberita semasa menghadiri Konsert Konsert Nidji – Pelangi di Kuching 2025 di Stadium Perpaduan di sini, semalam.
Jumaat lalu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan rancangan Kerajaan Sarawak untuk menaik taraf Hutan Simpan Sabal sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi.
Beliau memberitahu, usaha menaik taraf tersebut akan melibatkan pembangunan kemudahan penginapan moden di kawasan tersebut bagi menarik lebih ramai pelancong, khususnya pencinta alam sekitar.
“Saya ingin kita menyediakan kemudahan yang selesa di Sabal agar pelawat bukan sahaja boleh menikmati keindahan alam semula jadi, tetapi juga berpeluang tinggal lebih lama dan memahami biodiversiti yang kita miliki,” kata Abang Johari pada Majlis Apresiasi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar.
|