
Majang ketika berucap menyempurnakan Majlis Penangguhan Bengkel Gendang Pampat dan Pakaian Asal Iban di Rumah Galin Andam, Tinting Panjai Batu 8, Jalan Bintulu-Miri, semalam.
BINTULU: Permainan gendang pampat, yang merupakan salah satu cabang seni muzik dan kebudayaan kaum Iban, harus dipelihara dan dipulihara bagi memastikan ia terus diwarisi oleh generasi muda, kata Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju berkata, permainan gendang pampat dahulunya hanya dimainkan semasa sambutan Gawai dan upacara tertentu sahaja.
"Pada masa kini, ia dimainkan lebih sebagai seni muzik tradisional yang boleh dipelajari dan dimainkan oleh sesiapa sahaja, kerana fokusnya kini adalah kepada usaha mengekalkan keunikan permainan gendang pampat itu sendiri," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Majlis Penangguhan Bengkel Gendang Pampat dan Pakaian Asal Iban di Rumah Galin Andam, Tinting Panjai Batu 8, Jalan Bintulu-Miri, semalam.
Salah satu pasukan gendang pampat yang mengambil bahagian dalam bengkel berkenaan.
Menurut Majang, bengkel anjuran Raban Gendang Pampat Tuai Rumah Kawasan Samalaju Bintulu dengan kerjasama Persatuan Gendang Pampat serta Main Asal Iban Kuching itu secara tidak langsung membuka peluang kepada generasi muda untuk meneruskan legasi permainan tradisional kaum Iban.
Katanya lagi, penganjuran bengkel seperti ini mampu menggalakkan lebih ramai generasi muda mempelajari dan menguasai permainan gendang pampat yang semakin dilupakan.
"Inisiatif sebegini amat penting kerana ia dapat menyuburkan dan mengekalkan satu lagi seni budaya serta muzik tradisional yang menjadi warisan penting komuniti Iban sejak dahulu lagi," tambahnya.
|