SELEPAS lebih setahun mendirikan rumah tangga, pelakon Datin Atikah Suhaime baru berkesempatan untuk merasai percutian berbulan madu bersama suaminya, Datuk Lokman Teh.
Kata Atikah atau Nur Atikah Mohd Suhaime, 34, mereka terpaksa menangguhkan hasrat tersebut disebabkan terikat dengan komitmen kerja selain dirinya disahkan hamil anak pertama tahun lalu.
"Dulu perniagaan suami tiada hos live TikTok, hanya ada saya sahaja. Kalau saya tiada siapa yang akan buat live waktu itu.
"Selepas perniagaan maju dan stabil, suami nak bawa pergi bulan madu tetapi saya hamil pula," katanya.
Atikah menulis perkara tersebut dalam satu video yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Khamis.
Menerusi hantaran berkenaan dia bersama suami dan beberapa ahli keluarga lain dilihat meluangkan masa bercuti di sebuah villa di Janda Baik, Pahang.
"Selepas Mulan besar sedikit baru kami ke luar negara. Saya suka suasana kampung dan disebabkan itu suami bawa ke Janda Baik," ujarnya.
Berkongsi pengalaman bercuti, pelakon memberitahu dia suka akan suasana tenang di sana dan berharap akan memiliki kediaman sendiri seperti lokasi berkenaan.
Dia sempat berseloroh meminta suaminya membelikan sebuah villa untuk tempat tinggal mereka sekeluarga.
"Harap-harap satu hari nanti suami saya kaya-raya dan tak perlu kerja. Kami tinggal di sini (Janda Baik) main masak-masak sambil lihat Mulan membesar.
"Harap satu hari nanti suami belikan villa seperti ini." ucapnya.
Untuk rekod, Atikah berkahwin dengan Lokman pada Januari 2024.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan pada 8 Mac lalu yang diberi nama Lyla Mulan Teh. - mStar
|