PETALING JAYA: Pelakon popular, Fattah Amin tidak dapat menyembunyikan riak wajahnya apabila mendengar jawapan spontan ibunya, Azizah Abdul Ghani ketika sedang berbual mengenai gaya tudung.
Menerusi sebuah video yang dimuatnaik di TikTok, Fattah dilihat sedang berbual bersama ibunya bagi mempromosikan tudung keluarannya.
Dalam video yang sama, ibunya dengan bersahaja memberi komen mengenai gaya tudung yang sesuai dipakai untuk pelbagai majlis seperti ke konvokesyen dan pusat beli-belah.
Namun yang mencuri perhatian ialah jawapan selamba si ibu apabila gaya tudung yang sesuai untuk ke rumah besan.
“Tak, besan ibu ada di Johor juga. Suami angah kan di Johor. Kamu semua jangan aneh-aneh, ya,” kata ibunya.
Mendengar kenyataan tersebut, Fattah yang berada di sisi hanya mampu tergelak.
“Seram sejuk pula sebut, saya tak tahu nak cakap apa,” kata pelakon lelaki itu.
Menjengah ruang komen, rata-rata peminat terhibur dengan gelagat dua beranak itu dan memuji hubungan rapat serta santai mereka di hadapan kamera.
“Ibu pun terikut-ikut jangan aneh-aneh eh. Sampai tak terkata abang long,” kata seorang netizen.
“Reaksi muka abang long aneh-aneh ye,” kata pengguna TikTok.
“Ibu cakap pergi rumah besan di Johor, abang long pulak yang seram sejuk. Takut ibu terlepas cakap ke,” kata seorang warganet.
Sebelum ini, timbul dakwaan mengatakan pelakon drama bersiri Bidaah itu bakal mendirikan rumah tangga bersama pelakon wanita, Amira Othman pada 25 Mei tahun ini. – UTUSAN
|