LOS ANGELES: Lyle dan Erik Menendez, dua beradik yang terkenal kerana membunuh ibu bapa mereka pada tahun 1989, dijatuhkan hukuman semula oleh mahkamah pada Selasa, yang kini membuka peluang untuk mereka mendapatkan parol.
Seorang hakim di Los Angeles memutuskan agar hukuman penjara mereka diubah kepada penjara 50 tahun hingga seumur hidup, berbanding hukuman asal penjara seumur hidup tanpa peluang parol.
Keputusan ini bermakna kedua-dua mereka, yang dipenjarakan lebih tiga dekad atas pembunuhan kejam menggunakan senapang patah, mungkin boleh dibebaskan seawal bulan depan apabila lembaga parol bersidang.
Selama dua tahun terakhir, mereka berusaha mendapatkan pengurangan hukuman atas kes pembunuhan yang mengejutkan seluruh Amerika Syarikat (AS) ketika itu.
Dalam perbicaraan penuh emosi pada Selasa, ahli keluarga merayu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Los Angeles, Michael Jesic agar memberi peluang kepada kedua-dua adik-beradik tersebut untuk dibebaskan, menyatakan mereka sudah berubah.
Lyle tampil memberi kenyataan kepada mahkamah melalui pautan video dan mengaku membunuh ibu bapanya.
“Saya bunuh ibu dan ayah saya. Saya tidak beri sebarang alasan. Saya bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya seperti yang dilaporkan oleh wartawan di mahkamah.
Perbicaraan sensasi pada tahun 1990-an mendedahkan bagaimana pasangan adik-beradik itu menembak mati Jose dan Kitty Menendez di rumah mewah mereka di Beverly Hills.
Pendakwa menyatakan pembunuhan itu bermotifkan ketamakan untuk mendapatkan harta pusaka keluarga.
Jose ditembak lima kali, termasuk di bahagian lutut, manakala Kitty ditembak ketika cuba melarikan diri, sebelum maut akibat tembakan beberapa kali dari jarak dekat.
Pada awalnya, mereka mendakwa ibu bapa mereka dibunuh oleh mafia, namun cerita mereka kerap berubah sepanjang siasatan.
Penyokong mereka berhujah bahawa pasangan adik-beradik itu bertindak selepas bertahun-tahun didera secara seksual dan emosi oleh ibu bapa mereka yang dikatakan mengawal kehidupan mereka secara melampau.
Erik turut membuat pengakuan di mahkamah, menyatakan tindakannya sebagai kejam dan pengecut.
“Saya tidak ada alasan, tiada justifikasi. Saya ambil tanggungjawab penuh. Saya minta bantuan abang saya dan meyakinkannya bahawa kami tidak dapat melarikan diri.
“Saya lepaskan lima das tembakan ke arah ibu bapa saya dan pergi mengambil peluru tambahan. Saya menipu polis, saya menipu keluarga saya. Saya benar-benar kesal,” katanya.- AFP
|