KOTA KINABALU: Akibat tidak serik mengulangi kesilapan lama, seorang bekas anggota tentera dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah mengambil syabu buat kali ketiga.
Tertuduh, Mohd Fazli Badrun, 43, membuat pengakuan itu di hadapan hakim Amir Shah Amir Hassan, hari ini.
Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim bertanya mengapa tertuduh terjebak dengan dadah walaupun pernah berkhidmat dalam tentera.
Mohd Fazli berkata dia dikelilingi individu yang terlibat dengan dadah, namun mengakui bahawa kesalahan itu dibuat atas keputusannya sendiri.
Hakim berkata beliau bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan bahawa hukuman berbentuk pencegahan wajar dikenakan, bukan sahaja untuk mengelakkan tertuduh daripada mengulangi kesalahan, tetapi juga sebagai peringatan kepada masyarakat.
Mohd Fazli didapati mengambil dadah pada 1 Mac lalu, jam 8 malam selepas keputusan ujian air kencing yang di balai polis disahkan positif syabu. Tertuduh mempunyai dua rekod sabitan lampau atas kesalahan yang sama.
Mohd Fazli didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, boleh dihukum di bawah Seksyen 39C(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga tujuh tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap dan Mohd Fazli akan ditempatkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat menjalani hukuman.
Terdahulu, dalam rayuan, Mohd Fazli yang tidak diwakili peguam memohon agar hukuman diringankan atas alasan dia perlu menyara lima orang anak dan seorang isteri yang tidak bekerja.
Beliau turut merayu supaya diberi peluang untuk berubah dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama selepas dibebaskan kelak.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis memohon agar hukuman berat dikenakan, memandangkan kesalahan tertuduh adalah berulang dan serius.- UTUSAN BORNEO
|