PETALING JAYA: Isteri kepada pelawak, Shuib iaitu Watie Hanifiah seolah menyampaikan khabar duka selepas berkongsi mengenai seorang ibu kehilangan anak.
Menerusi perkongsian di Instagram, Watie turut memuat naik paparan gambar seorang ibu yang menangis ketika melihat bayinya berlalu pergi sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi.
“Saat kehilangannya. Dia adalah luka yang tak bisa aku benci. Aku masih ingat hari itu, waktu itu, jam itu aku kehilangan seseorang yang amat aku sayangi. Mulutku ikhlas tapi hatiku hancur.
“Memang kehilangan itu tidak membunuhku, tapi sesuatu dalam diriku mati hari itu,” katanya.
Dalam masa sama, isteri kepada pelawak itu turut meninggalkan tanda hati yang retak dan emoji sedih serta tanda pagar ucapan Hari Ibu untuk dirinya sendiri di ruangan kapsyen.
“11 Mei 2025 #selamathariibumummy,” tulisnya.
Menyedari perkara itu, Shuib turut meninggalkan komen berbaur reda dengan ketentuan takdir malah sempat menitipkan kata-kata semangat buat isteri tercinta.
“Selamat Hari Ibu, Mummy. Insya-Allah, Allah Maha Baik, Allah tahu yang terbaik untuk kita. Daddy sayang Mummy,” komen Shuib.
Meskipun tidak memberitahu sebarang perincian mengenai perkongsian tersebut, rata-rata netizen mendakwa pasangan itu baru sahaja melalui fasa kehilangan anak.
Malah, ada juga yang menitipkan kata semangat dan berharap Watie tabah menghadapi segala ujian di ruangan komen.
Terdahulu, timbul dakwaan dalam kalangan netizen bahawa pasangan itu bakal menimang cahaya mata selepas ada yang mendakwa ternampak ‘baby bump’ pada perut Watie.
Bagaimanapun, sehingga kini Shuib mahupun Watie tidak mengesahkan khabar angin itu sebaliknya meminta orang ramai mendoakan yang baik-baik buat mereka.
Terdahulu, Shuib dan Watie telah mendirikan rumah tangga pada 23 Jun 2023.
Shuib sebelum ini berkahwin dengan Allahyarham Siti Sarah namun penyanyi berkenaan meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 13, Dzahira Talita Zahra, 11, Ariq Matin, 8, dan Ayash Affan,4.-UTUSAN
|