Besut: "Saya pernah mendapat kira-kira 30 ikan 'asing' spesies peacock bass pelbagai saiz hampir setiap hari dalam tempoh sebulan menahan pukat di tasik ini," kata Sulaiman Yunus, 63.
Dia yang menetap di Kampung Darau, di sini, berkata, lokasi Tasik Telabak, Kampung Durian Telor, di sini, semakin dikuasai ikan asing berkenaan yang agresif.
Menurutnya, dia semakin kerap memperoleh tangkapan ikan asing itu selepas menahan pukat di tengah tasik itu.
"Hampir setiap hari ikan berkenaan tersangkut pada pukat yang saya pasang.
"Terbaru saya menangkap peacock bass seberat satu kilogram yang tersangkut pada pukat," katanya di Tasik Telabak, Kampung Durian Telor, di sini, semalam.
Katanya, sudah menjadi rutin baginya setiap hari datang ke tasik itu untuk memasang pukat bagi mengisi masa lapang.
"Selalunya saya pasang pukat selepas solat Asar sebelum mengutip hasil tangkapan pada keesokan paginya.
"Hasil tangkapan itu biasanya dibuat juadah makan tengah hari bersama keluarga," katanya.
Sulaiman berkata, rasa peacock bass seakan-akan siakap putih dan isinya manis.
"Namun, rasanya cepat berubah dalam tempoh beberapa jam jika tidak segera dimasak. Ikan ini akan cepat membusuk serta rasanya tidak sedap," katanya. - HARIAN METRO
|