PELAKON Jasmine Suraya tiada perancangan untuk berhijrah ke Amerika Syarikat selepas setahun menimba ilmu di negara berkenaan.
Jasmine, 36, berkata, jika ada tawaran berlakon di sana pastinya peluang itu tidak dilepaskan namun Malaysia tetap menjadi rumah pertama buat selama-lamanya.
"Untuk berpindah terus ke Amerika Syarikat itu memang tidak.
"Tapi jika ada peluang dapat tawaran berlakon di sana siapa tak mahu?
"Cumanya saya sayang Malaysia dan tetap menjadi negara nombor satu di hati saya," katanya kepada mStar.
Jasmine baharu sahaja pulang ke tanah air selepas setahun melanjutkan pengajian dalam bidang lakonan di akademi lakonan Lee Strasberg Theathre and Film Institue, Los Angeles (LA).
Berkongsi perkara pertama dilakukan ketika tiba di Malaysia, Jasmine terus mencari juadah ikan singgang yang sukar diperoleh di LA.
Malah, jelas Jasmine selama setahun itu juga dia tidak dapat menikmati sambal belacan yang menjadi kegemarannya.
"Bila dapat pulang, menu pertama saya makan adalah ikan singgang.
"Rasa seronok sangat dapat makan makanan Malaysia bila kembali ke sini.
"Lagipun sudah setahun saya tak dapat makan sambal belacan yang sedap, tambah pula harga di sana mahal dan rasa pun biasa-biasa sahaja," ujarnya.
Sebelum ini, Jasmine terpilih menjadi pelakon Malaysia pertama melanjutkan pengajian di akademi berkenaan.
Aktres itu juga sanggup mengeluarkan dana sendiri dengan menjual aset-aset dimiliki untuk menimba ilmu di sana selama setahun yang bermula pada April tahun lalu.
Beberapa bintang ternama Hollywood seperti pelakon Al Pacino, Robert De Niro, Angelina Jolie, Chris Evans, Scarlett Johansson dan Lady Gaga antara alumni institut berkenaan.
Jasmine sebelum ini pernah melanjutkan pelajarannya di Afrika dan Australia dalam bidang politik dan ekonomi, serta mengambil kursus selama dua bulan di London, United Kingdom (UK). - mStar
|