KUALA LUMPUR: Penyanyi Shima, 56, tampil bersuara berhubung bayaran royalti yang belum diterima daripada Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) sejak mendaftar sebagai ahli organisasi pengurusan kolektif industri muzik ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021.
Sambil meluahkan perasaan kecewa, penyanyi lagu Teringin itu meminta pihak berkaitan supaya menunaikan janji untuk membantu golongan penyanyi mendapatkan hak mereka.
"Saya dapat royalti sekali sahaja dalam anggaran RM2,000. Itu pun sudah lama. Kalau komposer yang mencipta lagu Teringin iaitu Fauzi Marzuki boleh dapat royalti setiap tahun, takkan saya tak dapat.
"Mustahil RPM tak ada simpan laporan atau maklumat. Sedangkan, lagu saya selalu diputarkan di stesen radio dan pusat karaoke. Buskers pun ada nyanyi lagu saya.
"Janganlah buat saya seperti anak tiri. Saya bukan orang baharu dalam industri. Ini bukan macam zaman Allahyarham Tan Si P Ramlee," dakwanya kepada BH Online.
Dalam pada itu, pemilik nama lengkap Ku Nazhatul Shima Ku Kamaruzzaman mendakwa dia juga sudah cuba menghubungi pihak terbabit untuk mendapatkan penjelasan, namun gagal.
"Saya ada hubungi mereka, namun panggilan tidak berjawab. Kali terakhir mereka hubungi saya menerusi e-mel, beberapa tahun lalu.
"Itupun sebab nak jemput saya hadir ke mesyuarat agung tahunan. Kononnya, jika tidak hadir, saya tak boleh dapat royalti. Tapi bila pergi, ini pula yang terjadi.
"Lebih membuatkan kecewa, saya dapat maklumat RPM ada anjurkan jamuan hari raya, baru-baru ini. Tapi, saya langsung tak dapat jemputan sama ada menerusi e-mel ataupun aplikasi WhatsApp.
"Buat majlis gah, siap ada persembahan. Beri bantuan sana sini, tapi kebajikan ahli seperti saya langsung tak terjaga," dakwa bekas vokalis kumpulan The Boys itu.
Dengan luahan itu, Shima berharap pihak berkenaan dapat bertindak segera untuk menyelesaikan isu yang sudah sekian lama membelenggu golongan anak seni
"Bukan saya seorang sahaja yang menghadapi masalah ini, tapi ramai juga artis lain. Cuma, mereka mungkin tidak berani bersuara.
"Apapun, saya harap RPM dapat menyelesaikan masalah lapuk ini. Janganlah dilengahkan. Saya hanya menuntut hak saya," dakwa Shima lagi.
Pada 2023, media melaporkan Shima pernah membangkitkan isu sama kepada kepimpinan RPM dan jawapan diterima adalah badan pelesenan itu sedang mengumpul maklumat daripada stesen radio dan pusat karaoke sebelum pembayaran royalti diagihkan.
Sementara itu, BH masih berusaha mendapatkan RPM untuk penjelasan lanjut. - BH ONLINE
|